Home Nasional Kenapa tak tangkap sahaja Jho Low soal Zunar

Kenapa tak tangkap sahaja Jho Low soal Zunar

KUALA LUMPUR – Kartunis terkenal, Zunar melalui lakaran terbarunya pagi tadi menyoal kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengapa tidak menangkap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Malah Zunar atau nama sebenarnya, Zukiflee Anwar Haque yang umum tahu adalah pro PH sering menyindir kepimpinan PH termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Zunar melukis wajah-wajah pemimpin ini sambil meletakan fakta serta tarikh pengakuan mereka menyatakan tahu lokasi Jho Low.

“Tun M – 14 Mei 2018, Kami tahu di mana Jho Low berada.

“Tun Daim – 4 November 2019, Jho Low ada hubungi saya.

“IGP – 25 September 2019, Kami tahu lokasi Jho Low. ,” tulis Zunar.

Berikutan itu, Zunar mempersoal dalam lukisannya: “Kenapa tidak tangkap?”

Rata-rata nitizen yang berkongsi lakaran itu dalam laman sosial seperti Facebook dan Instagram mempersoalkan mengapa ahli perniagaan dalam buruan itu masih lagi gagal ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah seperti ‘janji’ sebelum ini.

Sebelum ini, peguam utama yang mewakili kes berprofil tinggi SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  yang membabitkan penyewelengan dana masing masing sebanyak RM42 juta dan RM2.3 bilion, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga mendesak kerajaan membawa pulang Jho Low.

Rata-rata saksi bagi kedua-dua kes itu banyak menyebut dan mendakwa penglibatan Jho Low dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika prosiding mahkamah yang masih lagi berjalan.

Shafee sebelum ini memohon supaya kerajaan yang berkali-kali memberitahu sedia maklum lokasi Jho Low untuk membawanya pulang bagi membolehkan beliau menyoal Jho Low.

“Janganlah tunggu sehingga penghujung tahun, banyak yang saya hendak tanya Jho Low ini. Kalau tahu di mana Jho Low, cepatlah bawa pulang,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah baru-baru ini. – MalaysiaGazette