Home Utama Maaf, terminal feri belum boleh dibuka semula – MB Johor

Maaf, terminal feri belum boleh dibuka semula – MB Johor

Menteri Besar Johor, DatUK Dr. Sahruddin Haji Jamal bercakap kepada media pada Ceramah Kelompok Pakatan Harapan (PH) sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di PDM Peradin, Kampung Belokok, Teluk Kerang, Johor. foto AFFAN FAUZI, 05 NOVEMBER 2019

KUKUP – Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang menurut calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini akan dibuka esok sebenarnya belum bersedia untuk beroperasi sepenuhnya.

Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal sambil memohon maaf atas kesulitan itu menjelaskan, sebenarnya terminal feri ditunda operasinya disebabkan kapal dari Malaysia masih belum dibenarkan berlabuh di Tanjung Balai oleh pihak berkuasa Indonesia.

Katanya, permasalahan tersebut hanya diketahui selepas hasil mesyuarat dengan Pengangkutan Awam Johor pada pukul 4 petang tadi iaitu selepas Karmaine Sardini memberitahu media bahawa terminal tersebut akan dibuka semula di sebelah pagi.

Katanya, kekangan adalah di pihak Indonesia yang mana feri belum dibenarkan berlabuh di perairan mereka kerana syarikat yang mengoperasikan perkhidmatan feri di sini sebelum ini mempunyai tunggakan hutang yang tinggi dengan negara jiran itu.

“Kerajaan Indonesia ingin memastikan bahawa syarikat feri yang ada sekarang tidak ada kena mengena dengan syarikat lepas yang berhutang dengan kerajaan negeri dan juga kerajaan Indonesia.

“Tadipun saya telah menghubungi Bupati Tanjung Balai di Indonesia dan insyallah esok atau lusa pasukan daripada kita kerajaan negeri Johor akan ke sana untuk melihat dan menyerahkan beberapa dokumen yang diperlukan mereka untuk membolehkan kita mendarat di sana.

“Isu pokoknya ialah kita mahu meminta bantuan Indonesia untuk membenarkan kapal kita berlabuh di sana,” katanya kepada pemberita semasa hadir ke ceramah kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai di PDM Peradin, Kampung Belokok malam ini.

Menurut Sahruddin, pasukan kerajaan negeri akan berada di Indonesia dan akan meneliti hasil perbincangan untuk mencari langkah penyelesaian yang memanfaatkan kedua dua pihak demi manfaat ekonomi dan masyrakat kedua dua negara.

“Jangka masa tidak boleh disahkan lagi, tetapi kita akan pastikan secepatnya kalau anda tanya saya besok saya nak buka. masalahnya kapal kita tak boleh berlabuh,” ujarnya.

Ditanya langkah kerajaan negeri perketatkan kawalan keselamatan di terminal feri itu mengelak isu kemasukan warga asing dengan pasport palsu berulang, beliau menegaskan, kerajaan negeri meminta Pengangkutan Awam Johor menjadi operator pelabuhan itu di samping menagih kerjasama imigresen dan kastam.

Mengenai hutang syarikat lama, katanya, beliau tidak dapat memastikan jumlah hutang yang  bekas pengendali feri itu kepada Indonesia tetapi berhutang lebih RM3 juta dengan kerajaan negeri Johor.

Katanya beliau akan memanggil dan berbincang dengan syarikat lama itu untuk memastikan mereka menjelaskan tunggakan jutaan ringgit itu dengan segera.

“Saya akan memastikan kerajaan negeri mengambil tindakan yang tegas dalam memastikan syarikat itu bayar balik hutang,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

TERKINI : Terminal Feri Tanjung Piai Akan Dibuka Semula Esok – Karmaine Sardini