Home Utama Muafakat Nasional terlalu Melayu, perlu tonjolkan bukan Islam

Muafakat Nasional terlalu Melayu, perlu tonjolkan bukan Islam

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pada Majlis Ramah Mesra Media bersama Presiden PAS dan Pelancaran Harakah Daily Versi Baru di Hotel EDC, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 05 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Faktor sebenar mengapa Pas menyokong calon MCA, Datuk Dr Wee Jeck Seng yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah kerana penyatuan itu terlalu menonjolkan kaum Melayu.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah menjadi keperluan bagi kerjasama itu mengetengahkan calon bukan Islam bagi memastikan kerjasama tersebut diterima kaum lain.

“Oleh kerana Muafakat Nasional terlalu majoriti Melayu dan memerlukan adanya rakyat bukan Islam. Maka ditonjolkan MCA sebagai wakil kita di Tanjung Piai.

“Mengapa MCA? Kita tidak meletakkan orang bukan Islam dalam satu bakul sahaja, ada yang ekstrem dan ada yang tidak ekstrem. MCA tidak ekstrem seperti yang lain oleh sebab itu terima calon MCA,” katanya dalam majlis Ramah Media bersama Presiden Pas dan juga pelancaran Harakahdaily versi baharu di ibu kota, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi secara terbuka berkata, MCA yang terdiri daripada gabungan pembangkang pada ketika ini perlu kepada “bukan Islam yang tidak ekstrem” untuk menyampaikan suara kepada kerajaan.

“Pas melihat pakatan pembangkang memerlukan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk, iaitu MCA yang ada satu kerusi sahaja (di Dewan Rakyat),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, sebelum ini dilaporkan bersetuju dengan pemilihan Datuk Seri Wee Jeck Seng dari MCA untuk mewakili BN dalam PRK Tanjung Piai.

Selain menyokong Jeck Seng, Pas turut mengarahkan ahlinya yang mengundi di Tanjung Piai agar memilih BN berbanding calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz. – MalaysiaGazette