SYDNEY – Sehingga hari ini, seorang ahli perniagaan Australia merasa pelik kerana terpaksa kehilangan kerjayanya sebagai pengurus kanan hanya bercinta dengan kakitangannya.
Biarpun kehilangan pekerjaan tetapi kini semuanya berakhir dengan bahagia.
Gary Lyon sudah pun berkahwin dengan Tamra selama 12 tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan, Charlotte, 11.
Malah, mereka kini sudah memiliki syarikat sendiri di Brisbane.
“Sebenarnya kita akan rasa bahagia apabila jatuh cinta, apatah lagi dengan pekerja sendiri.
“Tiada ada masalah pun selagi tidak mempengaruhi kerja,” katanya yang menghubungi BBC selepas membaca berita pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, Steve Easterbrook kerana menjalinkan hubungan dengan kakitangannya.
Syarikat makanan segera gergasi Amerika Syarikat itu menyifatkan hubungan tersebut telah melanggar peraturan syarikat.
Pemecatan yang dihadapi Easterbrook dilihat telah menimbulkan kesulitan oleh kakitangan pengurusan jika bercinta dengan kakitangannya di tempat kerja.
Dalam kes Lyon, beliau adalah pengurus operasi di sebuah entiti yang menghasilkan pintu dan tingkap, kali pertama bertemu dengan isterinya semasa menyelaraskan satu projek.
Katanya, selepas tiga atau empat bulan kemudian, mereka bertemu lagi dalam satu acara pejabat.
“Saya menyukainya dan dia memberitahu bahawa dia juga suka saya. Ia bermula di sini.
“Anda menghabiskan banyak masa dengan kakitangan di tempat kerja, jadi anda dapat mengenali mereka dengan baik.,” tambah beliau lagi.
Pada ketika itu, Lyon sudah berusia 41 tahun dan isterinya 14 tahun lebih muda dan hubungannya dirahsiakan sebelum ia diketahui.
Setelah Lyon dan isterinya sering bertemu satu sama lain selama kira-kira tiga bulan, akhirnya dia dipanggil majikan.
“Saya diberhentikan. Isteri saya sangat kecewa, tapi tidak banyak yang boleh lakukan,” ujarnya.
Lyon berpendapat, tiada kod tempat kerja yang jelas mengenai peraturan bercinta dengan rakan sejawat sebaliknya tindakan telah dibuat secara sewenang-wenangnya.
Malah, pandangan syarikat bahawa percintaan antata kakitangan di tempat kerja sebagai satu kesalahan adalah satu pendapat yang sangat kuno di dunia
“Perlukah pengurus diharamkan berkawan dengan orang bawahan? Tidak, jika ada hubungan yang dipersetujui antara mereka.
“Tidakkah anda berhak untuk memilih pasangan anda? Jadi mengapa menghukum kedua-dua pihak dengan memecat salah seorang daripada mereka?,” ujar Lyon. – MalaysiaGazette