Para nelayan-nelayan di Tanjung Piai di sini menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap keperluan mereka bagi meneruskan kehidupan dalam keadaan sukar sekarang.
Perkara tersebut antara lain adalah pemansuhan cukai terhadap peralatan nelayan dan penyediaan pas khas untuk nelayan bagi menjalankan aktiviti lain selain menangkap ikan.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Johor Selatan, Yaacob Mohd. Said berkata, nelayan kini tertekan dengan masalah ekonomi apabila terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk membeli peralatan menangkap ikan dan udang.
Sambil memberi contoh, harga untuk membeli jaring bagi menangkap udang yang agak mahal, Yaacob berkata, nelayan yang menjalankan aktiviti persendirian tidak mampu mengeluarkan wang yang banyak bagi tujuan itu.