Home Politik Jangan biar bahtera Muafakat Nasional ditebuk musuh – Hadi

Jangan biar bahtera Muafakat Nasional ditebuk musuh – Hadi

Abdul Hadi Awang

PONTIAN – Pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai diingatkan agar tidak sesekali membenarkan bahtera Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas ditebuk oleh musuh luar.

Sebaliknya, mereka perlu mengajar mereka menerusi undi dengan memilih calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wee Jeck Seng yang dipilih menerusi Muafakat Nasional itu, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Potongkan tangan orang hendak tebuk bahtera (Muafakat Nasional) dengan undi, ajar mereka dalam pilihan raya kecil(PRK) ParlimenTanjung Piai,” katanya dihadapan lebih 3,000 hadirin yang memenuhi program ceramah perdana BN di Kampung Rimba Terjun di sini malam ini.

Abdul Hadi berkata, pihaknya mahu semua pengundi Parlimen Tanjung Piai memahami PRK kali perlu dimenangi calon MCA untuk memberi isyarat jelas pilihan raya umum ke-15(PRU15) bakal dimenangi BN menerusi Muafakat Nasional itu.

Katanya, Pas bekerjasama dalam Muafakat Nasional memerlukan kerusi Parlimen dimenangi calon bukan Islam tidak ekstrem untuk membantu kemenangan pada PRU15.

Tambah beliau, Pas menolak parti ekstrem seperti DAP yang bertindak menghentam dasar dan perjuangan parti itu meskipun berada dalam satu pakatan di bawah Pakatan Rakyat.

“Pas sebelum ini berbeza pendapat dengan MCA, tetapi kita tidak satu haluan ketika itu.

“Tidak seperti DAP hentam kita sewaktu bersama dalam PR, seolah-olah kita parti luar.

“Sebab itu, saya mahu semua faham calon MCA mewakili Pas dan BN, bukan mewakili satu kaum sahaja. Kita mesti sepakat dalam perkara kepentingan bersama, jangan izin orang tebuk bahtera kita,” katanya.

Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, semua parti yang ada sewaktu kemerdekaan negara dahulu tidak menyokong perjuangan komunis.

Ujarnya, faktor Pas menyokong calon MCA disebabkan rakyat negara ini perlu memahami Islam diajar bukan sekadar agama, tetapi islam adalah cara hidup, diantaranya mengajak manusia hidup bermasyarakat.

“Saya ambil contoh punca pakaian daripada kain, kain daripada benang, benang daripada kapas, kapas ditanam guna jentera pembajak.

“Tidak mungkin satu bangsa buat kerja semua. Ianya mesti dibahagikan mengikut tugas dan kerja ikut budaya dan bangsa masing-masing.

“Itulah konsep kita akan guna pakai dalam Muafakat Nasional, maka Pas turun di tanjung piai, berjanji sokong MCA,” katanya. – MalaysiaGazette