Home Politik Minta pekebun kecil jangan mengeluh, calon PH tiada kualiti – Hishammuddin

Minta pekebun kecil jangan mengeluh, calon PH tiada kualiti – Hishammuddin

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bersalaman dengan sebahagian penduduk semasa mengadakan sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di sekitar kawasan Pasaraya Target dan Econsave, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 06 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Sikap calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini yang meminta pekebun kecil tempatan tidak mengeluh berikutan kemerosotan harga kelapa sawit pada masa ini jelas menunjukkan beliau bukan seorang calon berkualiti.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau hairan dengan sikap calon PH itu yang sepatutnya menonjolkan dirinya dalam membela nasib rakyat.

Katanya, kenyataan seperti itu hanya menimbulkan kemarahan ramai dan ia tidak sepatutnya ditutur oleh seorang calon yang akan bertanding dalam pilihan raya.

“Bila calon kata suruh bersyukur harga kelapa sawit merudum, orang Sembrong pun marah.

“Mungkin tiada rancangan Felda di sini, tapi saya ada tiga rancangan Felda di Sembrong.

“Bila dia sebut macam itu nampak sangat memang dia tiada kualiti langsung,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan walkabout bertemu pengundi di sini hari ini.

Ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi Penerok di sini malam semalam, Karmaine menasihatkan pekebun kecil supaya bersyukur dan tidak mengeluh berikutan kemerosotan harga kelapa sawit pada masa ini.

Katanya, walaupun harga komoditi itu kini turun kepada RM270 satu tan, pekebun perlu bersyukur kerana mendakwa ia lebih tinggi berbanding harga RM87 satu tan pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa, tiada pihak yang merungut ketika harga kelapa sawit jatuh sehingga RM87 satu tan ketika itu.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin melahirkan rasa terkejut dengan sikap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu apabila cuba menjadi “hero” kepada nelayan-nelayan di Tanjung Piai.

Dengan nada sinis Hishamuddin mempersoalkan, bagaimana Mohamad boleh membela nasib nelayan yang tidak menerima saguhati berjumlah RM1,000 yang dijanjikan oleh kerajaan negeri Johor sedangkan beliau tidak memegang portfolio dalam sebarang perkara berkaitan pertanian.

“Saya terkejut bila menteri pertahanan kata dia nak bela nelayan di Tanjung Piai.

“Pembelaan anggota ATM dengan veteran pun tak terbela, macam mana menteri pertahanan nak bela nelayan yang bukan portfolio dia,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penularan sebuah rakaman menunjukkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub didakwa membuat ugutan kepada guru-guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chio, Kukup Laut yang disifatkan berbaur perkauman, Hishamuddin berkata, perbuatan seperti itu sememamgnya melampau dan tidak pernah berlaku semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.

Malah katanya, menteri juga tidak pernah menuding jari kepada mana-mana pihak ketika berkempen dan melakukan gerak kerja secara sihat.

“Dulu-dulu tak pernah saya tergamak dalam pilihan raya turun ke bangku sekolah, berkempen di kawasan sekolah dan menuduh huru-hara.

“Dia tuduh kita (BN) huru hara kalau Pas dan UMNO ini. Dia lupa saya pernah pegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

“Saya juga Menteri Pertahanan. Tak pernah terlintas dalam hati saya nak huru-harakan negara kita semata-mata untuk PRK. Jadi, tuduhan itu berkisar dan berbau politik,” katanya. – MalaysiaGazette