KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) mungkin melibatkan tempoh penahanan dipendekkan daripada 28 hari kepada 14 hari sahaja.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perkara tersebut antara yang diperhalusi oleh jawatankuasa yang bertanggungjawab mengkaji pindaan terhadap akta itu selepas menerima respon daripada jemaah menteri.
Namun kata beliau, polis pula berpandangan tempoh maksiumum itu sesuai untuk menyiasat lanjut suspek yang dilibatkan dengan aktiviti keganasan.
“Jadi, selepas itu kita bawa balik ada perbincangan lanjut, ada berapa fasal yang dicadangkan supaya kita teliti dengan lebih mendalam. Satu berkenaan tempoh reman dalam akta sekarang ini 28 hari, ramai kata ini terlalu panjang, mereka fikir lebih elok disingkatkan.
“Tapi pihak berkuasa seperti polis berkata, kalau berkaitan dengan keganasan, dia memerlukan masa yang lebih untuk mengkaji supaya keputusan dibuat itu tepat.
“Mungkin kita bagi 14 hari dan untuk menyambung 14 hari lagi, kepada 28 mesti dibawa ke mahkamah dapat keputusan hakim,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Selain itu Muhyiddin berkata kebimbangan pendakwaan di bawah akta itu dibuat bermotifkan politik juga dibangkitkan.
“Satu lagi fasal yang kalau ada berkaitan dengan melakukan sesuatu yang anggap mensabotaj ekonomi dan lain-lain termasuklah sebahagian didapati ialah keputusan politik.
“Jadi kita nak elakkan perkara itu timbul, ada cadangan supaya bab itu juga kita pinda atau kita tiadakan,” katanya lagi.
Justeru itu, pihaknya masih menunggu pandangan daripada pihak lain sebelum semua input dibawa kembali kepada kabinet untuk diperhalusi semula.
Ia memerlukan proses dan mengambil input daripada pelbagai pihak yang mengambil masa, sehubungan itu Muhyiddin berkata pindaan itu akan dibawa ke Parlimen pada sesi Mac tahun depan.
“Saya fikir untuk tempoh sekarang ini, (Dewan Rakyat akan tamat) tak lama lagi, kita belum siap dia punya kertas (cadangan), nak bincang nak bawa ke kabinet dulu.
“Saya fikir awal bulan Mac 2020, sesi yang akan datang,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui hari ini juga menyokong langkah kerajaan untuk akta itu dan bukan bertindak membatalkannya.
Meskipun setuju pihak polis perlu profesional dan tegas menjalankan tugas namun beliau berpendirian ia patut dikhususnya kepada kes keganasan yang lebih besar dan serius.
“Kalau kesnya itu lontar bom, saya tiada simpati. Tapi kalau kesnya dia pakai baju ISIS, atau dia Whatsapp saya fikir janganlah dibebankan sehingga seluruh keluarga derita kerana satu kesilapan teknikal yang kecil kemudian berulang dengan kes sepertimana kumpulan pengganas LTTE dalam konteks yang sama,” katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pindaan itu tidak kaitan dengan penahanan 12 individu termasuk dua wakil rakyat DAP yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dituduh di bawah SOSMA baru-baru ini.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: