Home Utama Industri kreatif mampu menguntungkan negara – Tun M

Industri kreatif mampu menguntungkan negara – Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Istiadat Konvokesyen ASWARA ke-15 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Bidang seni dan budaya mampu memberi sumbangan dalam industri kreatif yang sedang berkembang pesat kini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kandungan industri kreatif seperti filem, drama dan animasi mampu menjadi eksport yang boleh menguntungkan negara jika produk yang dihasilkan berkualiti.

Kata beliau, industri kreatif merupakan sektor yang sedang berkembang maju di negara ini dan sehingga 31 Mac lalu, terdapat 345 syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster Kandungan Kreatif dan Teknologi dari keseluruhan 2,986 yang aktif.

“Sepanjang tahun lalu, syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster ini telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM7.69 bilion dengan nilai eksport RM1.40 bilion dan telah menyediakan sebanyak 11,471 peluang pekerjaan.

“Dengan wujudnya pelbagai fakulti di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA), saya percaya akademi ini boleh menyediakan kandungan serta produk industri kreatif yang lebih berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Peranan pelajar dalam bidang seni juga sama pentingnya dengan peranan mereka dalam bidang yang lain seperti Matematik, Sains dan Teknologi di universiti awam dan swasta,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen ASWARA ke-15 di Panggung Eksperimen ASWARA di sini, hari ini.

Turut hadir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.Pada istiadat itu, beliau dan isteri dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif oleh ASWARA.

Menurut Dr. Mahathir, adalah wajar sekiranya kemudahan dinikmati pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lain seperti pinjaman dan bantuan pendidikan dipertimbangkan bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian dalam bidang seni, budaya dan warisan.

Seiringan itu juga, katanya, tenaga akademik seni dan budaya termasuk di ASWARA harus mendapat galakan dan peruntukan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi jika mahu keupayaan mereka mencapai tahap pengajar luar negara.

Mengenai peranan teknologi dalam industri kreatif, beliau menjelaskan, ketika ini perubahan teknologi yang pantas memerlukan IPT bertindak pantas untuk kekal kompetitif terutama dalam persaingan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak boleh kehilangan identitinya yang dibentuk menerusi kepelbagaian kebudayaan dan keseniannya.

“Kemajuan fizikal dan material perlu kita imbangi dengan kemajuan kesenian dan kebudayaan kerana dengan cara ini sahaja kita dapat memperkukuhkan tamadun bangsa.

“ASWARA mempunyai tugas penting memastikan ini dicapai kerana ia salah satu institusi yang mendidik golongan muda untuk kenal seni, budaya dan warisan bangsa.

“Saya yakin industri kreatif negara ini akan memberi sumbangan yang positif terhadap Keluaran Negara Kasar (KNK) Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette