Home Seni Hidup Megaklinik Zahran hargai panel korporatnya

Megaklinik Zahran hargai panel korporatnya

Penghargaan Megaklinik Zahran kepada 32 panel korporatnya dalam satu majlis di Hotel Bangi Resort, Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya sebuah klinik kesihatan swasta memberi penghargaan kepada pelanggan yang menjadi panelnya.

Penghargaan itu diberikan oleh Megaklinik Zahran kepada 32 panel korporatnya dalam satu majlis di Hotel Bangi Resort, Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran, Nafidz Razak berkata, penghargaan itu sejajar dengan moto pihaknya iaitu mahu menjadi yang pertama di mana-mana.

Justeru, Megaklinik Zahran mengambil berat setiap inisiatif berkaitan pelanggan.

“Kami berbangga kerana menjadi sebuah megaklinik yang pertama menganugerahkan pencapaian kepada pelanggan,” katanya hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran, Nafidz Razak.

Menurut Nafidz, pihaknya juga menaruh kepercayaan untuk mendepani arus globalisasi dan perniagaan, program perlesenan jenama klinik perlu diperluaskan selain kerjasama dua hala dengan pelanggan..

“Ia adalah bagi memastikan dan memberi nilai mutu pada skala terbaik buat perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kami kepada masyarakat umum.

“Diharapkan, pemberian anugerah ini dapat dijadikan satu dorongan serta motivasi kepada para panel untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan bekerjasama dengan Megaklinik Zahran secara saksama,” katanya lagi.

Antara syarikat dan panel yang menerima Anugerah Korporat Megaklinik Zahran pada hari ini termasuklah Pharmaniaga, PMCare, Health Connect, TNB Nasional, Hitachi, Denso, Telekom, MIMOS, Affin Bank, Nicom Steel dan Pos Malaysia.

Turut tersenarai sebagai penerima Anugerah Korporat ini adalah institusi pengajian tinggi awam dan swasta seperti Universiti Putra Malaysia; Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Kuala Lumpur; Universiti Tenaga Nasional  serta Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).

Kesemua penerima anugerah telah dinilai oleh panel profesional yang telah dipilih oleh Megaklinik Zahran.

Baru-baru ini Megaklinik Zahran dianugerah Corporate Excellence Category Asia Entrepreneurship Award.

Megaklinik Zahran juga disenaraikan di dalam program Usahawan Licensing PUNB dgn peruntukan dana awal RM10 juta
kepada para usahawan atau doktor yang berminat membuka jenama mereka.

Dalam pada itu, kongsi Nafidz, program perlesenan jenama Megaklinik Zahran yang bermula pada awal tahun lalu
bakal berkembang maju menerusi pembukaan klinik di bandaraya Melaka pada hujung tahun ini diikuti cawangan Putrajaya, Cyberjaya dan di Johor Bharu.

Megaklinik Zahran adalah sebuah klinik berkonsep mega yang pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan klinik berfasiliti lengkap yang mampu menampung purata kapasiti pelanggan seramai 500 orang sehari.

Tidak cuma itu, setelah empat tahun beroperasi kini Megaklinik Zahran turut menawarkan peluang usahasama kepada
para usahawan dan doktor.

Menyasarkan pembukaan 50 buah klinik mega di seluruh negara menjelang 2020, para doktor dan usahawan digalakkan untuk mengambil peluang dan tawaran berkenaan.- MalaysiaGazette