Home Nasional Polis belum terima laporan tentang kenyataan Republik of Malaysia

Polis belum terima laporan tentang kenyataan Republik of Malaysia

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (tengah) bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Jenayah Komersil : Ancaman dan Pendekatan Teknologi Siber 2019 di UM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima apa-apa laporan tentang kenyataan Republik of Malaysia oleh seorang peserta rakyat Malaysia Miss Crystal Angel International, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, pihaknya belum menerima apa-apa laporan daripada mana-mana pihak berhubung kenyataan itu setakat ini.

“Saya tidak dimaklumkan lagi ada laporan tentang kenyataan Republik of Malaysia. Bukan tidak ada laporan polis, benda ini baru jadi saya kena semak dulu,” katanya dalam sidang media di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Mazlan ditanya media tentang penularan sebuah video yang menunjukkan salah seorang daripada dua peserta Malaysia memperkenalkan diri dan menyatakan dirinya mewakili ‘Republic of Malaysia’.

Peserta Malaysia yang kontroversi itu dilihat menggayakan persalinan tradisional potongan kebaya.

Pada Selasa, Miss Crystal Angel Antarabangsa (MCAI) memohon maaf secara terbuka mengenai kejadian itu.

“Kami sebagai penganjur organisasi MCAI Myanmar 2019 ingin meminta maaf kepada rakyat Malaysia berikutan kesilapan menggunakan nama ‘Republik Malaysia’.

“Kesilapan ini bukan datang daripada peserta Malaysia namun ia adalah kesilapan kami,” katanya dalam kenyataan di Facebook. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Repulik Malaysia: Penganjur mohon maaf