Home Nasional Salahuddin sedia beri keterangan pada polis

Salahuddin sedia beri keterangan pada polis

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 07 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub bersedia memberi keterangan dan memberi kerjasama dengan polis sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Sehingga kini beliau memaklumkan tidak tidak menerima panggilan untuk disiasat berhubung ucapannya ketika berkempen di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

“Setakat ini saya belum terima lagi apa-apa. Terpulang kepada polis.

“Saya menunggulah kalau ada apa-apa keterangan atau permintaan untuk saya memberi keterangan itu, saya tidak ada masalah,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Salahuddin kemudian sekali lagi mempertahankan kenyataannya sebelum ini ditegaskan hanya peringatan terhadap situasi sekiranya wujud kenyataan melampau berkaitan agama dan perkauman sering dibangkitkan.

“Dia tuduh saya rasis, apa yang rasis? Tapi apa yang saya ucapkan itu tidak langsung ada unsur rasis dan seumpamanya,”kata beliau.

Semalam Ketua Polis Daerah Pontian, Mustafa Bakri Salleh berkata, polis akan memanggil Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) untuk memberi keterangan jika perlu susulan kenyataannya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cina Pei Chio di Kukup Laut baru-baru ini.

Kenyataannya yang dirakam dan tersebar di laman sosial itu dipertikai oleh parti pembangkang dan didakwa berkisar tentang Malaysia akan menjadi huru-hara jika BN kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.-MalaysiaGazette