
KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah pun melakukan persiapan rapi sebagai persediaan awal pengurusan bencana banjir yang lancar dan teratur, selain bagi meminimumkan kerosakan pepasangan TNB di musim tengkujuh kali ini.
Ketua Pegawai Rangkaian Pengedaran TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB telah pun mengadakan mesyuarat koordinasi banjir bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah dan telah menjalankan sesi latihan menghadapi banjir.
Penyediaan siap siaga set-set janakuasa bergerak dan set janakuasa mudah alih di beberapa lokasi strategik juga telah dibuat.
“Lanjutan banjir 2014, TNB telah mengambil langkah meninggikan tapak pencawang dan membina penghadang banjir di pintu masuk pencawang telah pun dilaksanakan.
“Pasukan Bertindak Kecemasan yang bertugas 24 jam sehari juga akan digerakkan untuk membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang dan sebab lain dengan kadar segera.
Baharin berkata, jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasi terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat selepas keadaan selamat.
TNB juga akan membuka bilik gerakan di negeri yang terbabit banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik
“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau facebook TNB Careline untuk tindakan segera kami,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.
Jauhi dari menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.
“Setelah banjir surut pengguna dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di dalam premis yang dinaiki air,” ujarnya. – MalaysiaGazette