PEKAN NANAS – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian kerajaan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan dimansuhkan sama sekali seperti yang didesak kebanyakan pihak.
Sebaliknya SOSMA akan melalui proses pindaan selepas kajian beberapa peringkat melibatkan pandangan dan input semua pemegang taruh secara langsung dan tidak langsung dalam perkara ini.
Ini termasuklah mempertimbangkan semula tempoh tahanan selama 28 hari yang diperuntukkan dalam SOSMA sehingga hari ini.
“Setakat ini daripada pandangan saya mendapati keputusan dibuat PH termasuk apa yang termaktub dalam manifesto adalah kekal.
“Maknanya kita tidak akan memansuhkan SOSMA tapi kita akan buat pindaan dan ini saya telah maklumkan beberapa kali di sidang Dewan Rakyat iaitu langkah-langkah dimulakan kajian penambahbaikan sudah selesai satu pusingan dan telah dirujuk ke kabinet.
“Namun perlu melalui satu lagi pusingan kerana perlu mendapatkan inpout dan pandangan pelbagai pemegang taruh, pakar perundagan, NGO, pakar akademik dan sebagainya dalam sektor keselamatan.
“Kemudian ia akan dibawa semula ke kabinet supaya kabinet dapat membuat keputusan muktamad,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan dan minum petang bersama warga polis di Balai Polis Pekan Nanas petang tadi sempena kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.
Dalam perkembangan berkaitan tambah beliau, terdapat beberapa perkara juga yang diminta diberikan tumpuan utama.
Menurutnya ada pihak yang mendakwa tempoh tahanan selama 28 hari agak panjang dan menyeksakan tahanan sambil mendesak KDN semak semula untuk mengurangkannya.
“Macam-macam perkara lain dalam pindaan SOSMA perlu diambil kira termasuk pandangan penguatkuasa polis itu senditi yang menguatkuasakan undang-undang itu.
“Ada yang sokong dan berpendapat tempoh 28 hari itu mencukupi dan sesuai mengikut keadaan keselamatan semasa. Pun begitu contohnya 14 hari disiasat dan mahu sambung 14 hari lagi reman kepada hakim di mahkamah supaya ada proses semak dan imbang dalam soal ini.
“Maka kalau kita lihat dalam sudut itu memang kerajaan hendak mempertahankan SOSMA kerana ini bukan hanya melibatkan Gerakan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) sahaja, tetapi mencakupi soal keganasan merentasi sempadan di peringkat antarabangsa yang bukan bayangan tetapi realiti,” ujarnya.
Tegas beliau, dunia tanpa sempadan hari ini melibatkan Malaysia yang agak luas menjadi antara negara yang menjadi sasaran puak militan keganasan antarabangsa untuk menjadikan pengkalan dan mempromosikan aktiviti mereka.
“Jadi kita perlukan kerjasama antarabangsa tingkatkan penguatkuasaan dengan teknologi baharu, berkongsi kepakaran dan risikan bersama negara sependapat kerana soal keselamatan tidak boleh diangap enteng lagi,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette