KUKUP – Pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa sekitar Pontian menyambut baik langkah kerajaan membuka semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup yang ditutup sejak dua bulan lalu.
Dengan pengumuman yang dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berhubung pembukaan semula terminal berkenaan, ia secara tidak langsung menarik nafas lega pemandu-pemandu teksi yang sebelum ini sering bertumpu di situ ekoran mudah untuk mendapatkan penumpang.
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Pontian, Mahmud Johari berkata, beliau yakin pembukaan terminal feri berkenaan dibuat selepas mengambil kira langkah beberapa ahli persatuan yang menunjukkan protes untuk tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) gara-gara penutupan tersebut.
Katanya, pemandu teksi di Pontian sebulat suara akan menyokong Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM) yang dilihat lebih memfokuskan mereka selain, golongan berpendapatan rendah (B40).
“Bila dengar terminal feri ini akan dibuka, kami rasa bersyukurlah. Itu semua gara-gara protes kami. Kalau tak protes, kerajaann mungkin tak bertindak.
“Oleh kerana ada protes barulah kerajaan nak bertindak dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Rabu lalu, portal ini melaporkan rungutan pemandu-pemandu teksi dari Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Pontian apabila Terminal Feri Antarabangsa Kukup ditutup oleh kerajaan Johor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
Operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup dihentikan sementara pada 1 September lepas dan dipindahkan ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di Iskandar Puteri.
Penutupan sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut atas sebab-sebab tertentu.
Sejak 1 September juga pendapatan pemandu-pemandu teksi terjejas sebanyak 90 peratus ekoran kurangnya permintaan daripada orang ramai terhadap perkhidmatan berkenaan tidak seperti sebelum ini sekiranya terminal itu beroperasi.
Dianggarkan lebih kurang 13,000 penumpang sebulan menggunakan terminal feri berkenaan untuk ke Tanjung Balai.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahmud berkata, aspek lain yang masih belum mampu meredakan pemandu teksi ialah beberapa keputusan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan.
Ujarnya, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dan dilayan dengan baik oleh kerajaan terhadap pemandu teksi.
“Saya pun peliklah di pihak kerajaan, menteri pandai-pandai, tapi nak buat tindakan mereka tak mahu berunding dengan persatuan-persatuan teksi.
“Apabila dah berlaku barulah nak tarik balik. Saya tak pastilah kalau lepas PRK ini, ia akan dijalankan terus,” katanya. – MalaysiaGazette
Tutup terminal feri: Pemandu teksi protes mahu undi calon bebas