KUKUP – Langkah tergesa-gesa kerajaan negeri Johor membuka semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup hingga dianggap “flip-flop” tidak mencerminkan prestasi tinggi pimpinan Pakatan Harapan.
Bekas menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat di kawasan Tanjung Piai boleh melihat sendiri apa yang berlaku dan perlu membuat keputusan bijak mengenainya pada 16 November ini.
“Ini tak cerminkan sebuah kerajaan berprestasi tinggi. Johor di bawah kepimpinan baru tidak meletakkan kerajaan mereka berprestasi tinggi.
“Bila berlaku, flip flop rakyat boleh nilai berprestasi tinggi atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama nelayan Tanjung Piai di sini hari ini.
Ujarnya, ketika Barisan Nasional menerajui Johor, beliau membangunkan terminal tersebut hingga mampu memantapkan ekonomi semua pihak yang terlibat di situ.
Malangnya beliau mendakwa, ekonomi di situ tidak lagi berkembang gara-gara tindakan tidak bijak mengurus ekonomi hingga menjejaskan semua.
Mohamed Khaled mengulas mengenai langkah kerajaan negeri yang mengumumkan pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup setelah ditutup sejak 1 September lalu.
Penutupan terminal berkenaan telah menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu teksi yang menjadikan ia sebagai nadi untuk mendapatkan penumpang dalam kalangan pelancong dari Tanjung balai.
Dianggarkan lebih kurang 13,000 penumpang sebulan menggunakan Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk ke Tanjung Balai.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, negeri Johor merupakan pantai yang paling panjang di Malaysia dan banyak lagi yang masih belum diteroka.
Ujarnya, bagi membangunkan terminal berkenaan kerajaan negeri perlu mempunyai program dan dasar yang boleh dilibatkan untuk semua pihak di situ untuk masa akan datang. – MalaysiaGazette