Home Sukan Harimau Malaya kejutkan Tajikistan

Harimau Malaya kejutkan Tajikistan

Pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad (kanan) berjaya mengelak diri daripada diasak pemain Tajikistan, Ehsoni Panshanbe (kiri) pada perlawanan persahabatan antara Malaysia menentang Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya mendapat suntikan semangat menjelang perlawanan menentang Thailand dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala 2023 selepas menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini malam ini.

Lebih membanggakan aksi anak buah Tan Cheng Hoe nampak agresif walaupun Tajikistan berada di ranking 116 dunia berbanding Harimau Malaya di tangga 158.

Aksi itu juga menjadi medan buat Cheng Hoe yang menguji beberapa pemain kurang beraksi sebelum ini selepas merehatkan ramai pemain utama terutama pada babak pertama.

Malah skuad kebangsaan turut bertuah apabila Tajikistan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Rustam Yatimov dilayangkan kad merah pada minit ke-47 selepas pemain itu melakukan kesilapan menangkap bola di luar kotak penalti.

Peluang itu digunakan sepenuhnya Cheng Hoe dengan memasukkan beberapa tonggak utama termasuk Safawi Rasid bagi mencari gol.

Pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad (kanan) berjaya mengelak diri daripada diasak pemain Tajikistan, Ehsoni Panshanbe (kiri) pada perlawanan persahabatan antara Malaysia menentang Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 NOVEMBER 2019Serangan berlalu arus itu akhirnya berjaya apabila Safawi meledak gol tunggal perlawanan selepas menyudahkan hantaran Brendan Gan pada minit ke-72.

Cheng Hoe kini hanya perlu membaiki beberapa kelemahan dengan mempertajamkan lagi bahagian serangan menjelang aksi getir berdepan Thailand yang bakal membawa barisan terkuat mereka pada Khamis ini.

Bekas pengendali Kedah itu dijangka mengurangkan jumlah pemain dalam memilih skuad terbaik sebelum berdepan negara jiran selain Indonesia pada 19 November ini bagi aksi kelayakan Kumpulan G.

Kedua-dua aksi itu akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – MalaysiaGazette
noted

+ posts