Home Politik Hayat Bersatu bergantung kepada usia Dr Mahathir – Khaled Nordin

Hayat Bersatu bergantung kepada usia Dr Mahathir – Khaled Nordin

Naib Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap semasa mengadakan perogram perjumpaan wakil pengkalan jeti nelayan bagi membantu calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Kampung Serkat Laut, Kukup, Johor. foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2019

KUKUP – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendakwa, hayat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya bergantung kepada usia Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ramai daripada anggota di dalam Bersatu akan melompat selepas Dr Mahathir tiada lagi.

“Bersatu bergantung kepada PM (Perdana Menteri). Pengundi kena lihat dan fikirkan apa jadi kepada Bersatu setelah ketiadaan Tun Dr Mahathir.

“Sebahagian besar anggota parti akan melompat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama nelayan Tanjung Piai di sini hari ini.

Mohamed Khaled mendakwa, beliau tidak terperanjat sekiranya perkara itu berlaku kerana mereka yang berada dalam Bersatu bukanlah ahli yang setia dan sememangnya mempunyai kepakaran untuk bertindak sedemikian.

Malah, Mohamed Khaled mendakwa, anggota Bersatu yang melompat mempunyai pemikiran yang singkat dan hanya mementingkan diri mereka sendiri.

“Satu perkara sangat jelas, bila Tun Mahathir tiada, bukan Bersatu jadi (PM) Perdana Menteri. Tiada pemimpin Bersatu upaya kekalkan Bersatu lepas ketiadaan PM,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, pengundi di kawasan Tanjung Piai tidak perlu meletakkan harapan kepada parti yang sudah tidak lagi mempunyai harapan selepas ketiadaan Dr Mahathir.

Beliau turut mengajak pengundi di Tanjung Piai supaya berfikir tentang siapakah yang layak untuk menggantikan Perdana Menteri selepas Ahli Parlimen Langkawi. – MalaysiaGazette