KUKUP – Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md Yusof menyangkal dakwaan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini kononnya kerajaan Pakatan Harapan di Perak akan tumbang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid sebagai berimaginasi sahaja kerajaan negeri Perak tidak akan berpecah seperti diviralkan pembangkang ketika ini.
“Saya tak mahu cerita omong-omong yang berlaku atau cerita di pintu belakang, tapi kita kena cakap atas dasar dan fakta.
“Saya tak nampak itu (perpecahan atau pertukaran kerajaan Perak ) akan berlaku,” katanya kepada pemberita di Majlis Kenduri Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) PH di Kampung Tenggayun tengahari tadi bersama calon PH, Karmaine Sardini.
Bagaimanapun beliau menyerahkan isu itu kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut.
“Itu kita serahkan kepada majlis presiden PH..saya tak boleh nak ulas sebab kita ada solidariti sendiri dalam Pakatan Harapan yang pasti kita satu unit kerajaan yang bersatu,” tegasnya secara ringkas.
Menteri Pembangunan Usahawan itu mengulas isu kenyataan Ahmad Zahid berhubung isu Menteri Besar Perak apabila berharap dapat merampas kerajaan negeri Perak sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Ahmad Zahid mengulas video tular memaparkan Faizal mendakwa ‘berseorangan melawan puak DAP’
Menurutnya, itu adalah masalah mereka sambil menjelaskan di Perak mereka cuma kekurangan dua kerusi saja untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan negeri baharu.
“Dua itu pun telah ‘menyimpang’ dan saya harap kita tidak perlu menunggu hingga PRU ke-15 lah (untuk rampas Perak),” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi ramah mesra di Pekan Kukup pagi hari ini.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Anggota Parlimen Bagan Datuk berpendapat isu tersebut timbul kerana DAP tidak memberi sokongan kepada Faizal.
“Masalah yang ada dalam negeri saya itu adalah kerana DAP yang tak beri sokongan kepada MB (menteri besar) Perak,” dakwanya lagi.-MalaysiaGazette