PARIS – Seorang pegawai Kementerian Budaya Perancis didakwa memberi ubat diuretik kepada beberapa wanita bagi membolehkan dia melihat mereka kencing.
Sumber perundangan Perancis berkata, lelaki itu turut didakwa melakukan kesalahan seksual dan dadah membabitkan lebih daripada 200 wanita yang datang ke kementerian untuk ditemuduga.
Kejadian itu berlaku antara tahun 2009 hingga 2018.
Tertuduh juga didakwa mengambil gambar secara rahsia kaki wanita-wanita berkenaan melalui bawah meja menggunakan telefon bimbitnya.
Akhbat Liberation memetik lima wanita Perancis mendakwa mereka ditawarkan air teh atau kopi semasa ditemuduga dan dibawa melawat kawasan-kawasan bersejarah berhampiran kementerian berkenaan di sini.
Apabila mereka hendak membuang air kecil, lelaki itu membawa mereka ke tambak Sungai Seine dan menawarkan untuk melindungi mereka dengan baju kotnya.
“Saya kencing di atas lantai, hampir di kakinya, saya malu dan malu,” kata seorang.
Salah seorang wanita berkata, dia dimasukkan ke hospital dengan jangkitan saluran kencing selepas pertemuan itu.
Akhbar itu melaporkan, pegawai itu menyimpan gambar-gambar kejadian dalam Excel.
Kes itu menjadi lebih jelas ketika seorang wanita berjaya mengesan tertuduh mengambil gambar kakinya dari bawah meja dan melaporkannya kepada atasannya.
Kementerian itu melaporkannya kepada polis yang kemudian menyelongkar komputernya untuk mendapatkan bukti.
Dia digantung pada Oktober 2018 dan dipecat tiga bulan kemudian apabila siasatan dibuka oleh pejabat pendakwa Paris, lapor LibĂ©ration. – MalaysiaGazette