Home Nasional PH didakwa sogok pengundi dengan kad prabayar di hadapan SPR, polis

PH didakwa sogok pengundi dengan kad prabayar di hadapan SPR, polis

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bercakap pada sidang media mengenai parti Pakatan Harapan memberi sim card pecuma kepada pengundi sambil diiringi calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng (kanan) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Bilik Gerakan MCA Tanjung Piai, Pontian, Johor. foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan aktiviti mencurigakan dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) apabila berlaku sogokan kepada pengundi dengan memberikan secara percuma kad sim prabayar telekomunikasi.

Beliau mendakwa, aktiviti itu berlaku semasa ceramah di Rumah Pemuda Harapan Tenggara di Parit Haji Othman, Kampung Seri Bunian Batu, di sini, malam semalam.

“Kami dimaklumkan bahawa terdapat aktiviti mencurigakan iaitu pemberian Sim card yang merupakan satu bentuk sogokkan kepada pengundi.

“Acara tersebut juga dihadiri Presiden Bersatu merangkap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama dengan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan dan juga calon PH, Karmaine Sardini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ka Siong mendakwa, aktiviti tersebut telah disaksikan pegawai-pegawai pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota polis yang mengawasi ceramah itu.

Beliau sedih kerana pihak terbabit berani melakukan perbuatan berkenaan secara terang-terangan di hadapan pihak berkuasa dan SPR yang merupakan sebuah badan bebas mengendalikan pilihan raya.

Ujarnya, apa yang dilakukan oleh PH dalam kempen PRK Tanjung Piai itu adalah satu tindakan yang tidak adil kerana ia memberi kesan kepada calon-calon yang bertanding.

“Adakah ini adil kepada enam calon yang bertanding. Apakah ini kelebihan kepada kerajaan yang memerintah.

“Saya rasa kita perlu tuntut keadilan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ka Siong menyindir sama ada perbuatan yang dilakukan oleh PH itu sebagai satu lagi tindakan “kebetulan”, selepas pelbagai projek jutaan ringgit diumumkan semasa kempen yang berlangsung sejak lapan hari lalu di Parlimen Tanjung Piai.

“Saya dah kira RM28.55 juta sejak lima hari lalu dan saya tak kira lagi bakinya selepas itu.

‘Dan saya tak tahulah berapa juta lagi akan dicurah sehingga 15 November nanti. Macam-macam helah yang tak masuk akal,” katanya.

Pada sidang media itu juga Ka Siong turut menayangkan klip video aktiviti tersebut yang diperoleh daripada orang awam.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada SPR dan pihak polis ekoran PH telah melanggar tata cara berkempen secara telus.

Katanya, laporan akan dibuat mengikut kategori dengan mengikut saluran aduan yang betul.

Dalam pada itu, Ka Siong turut menggesa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) supaya bertindak.

Katanya, jika SPR tidak bertindak untuk menghukum PH selepas pendedahan itu dibuat, beliau menggesa pengundi di Tanjung Piai membalasnya dengan tidak memberikan undi kepada PH pada PRK yang akan berlangsung 16 November ini sebagai tanda protes.

Sementara itu, calon BN, Datuk seri Wee Jeck Seng menggesa  parti lawan  berkempen secara telus

“Kita tahu dia ada dana tapi mesti gunakan dengan betul. Kalau kita nak bersaing, biarlah dengan cara yang bersih, tidak guna taktik kotor untuk keadilan semua calon,” katanya. – MalaysiaGazette