Home Seni Hidup Piala Hektar cungkil bakat terpendam pelajar – Mira Rahman

Piala Hektar cungkil bakat terpendam pelajar – Mira Rahman

Antara peserta yang terlibat dalam pertandingan Choral Speaking 2019 Piala HEKTAR di Bandar Muar, Johor. foto MALAYSIA GAZETTE, 08 NOVEMBER 2019

MUAR – Seperti syarikat-syarikat korporat lain yang begitu komited menyahut seruan kerajaan melalui tanggungjawab korporat sosial (CSR), Kumpulan Hektar juga tampil dengan kecenderungan dalam bidang pendidikan melalui Piala Hektar 2019.

‘Piala Hektar’ yang diperkenalkan melalui pertandingan bicara berirama atau ‘choral speaking’  sudah pun memasuki tahun kedua telah mendapat sambutan luar biasa sekurang-kurangnya dengan penyertaan 44 buah sekolah dari seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 1,200 pelajar telah menyertai pertandingan ini sebelum enam sekolah terbaik terpilih ke peringkat akhir.

Peringkat akhir pertandingan itu diadakan Hotel Classic bersebelahan pusat beli belah Wetex Parade, Muar yang kedua-duanya milik Hektar Property Services Sdn Bhd, anak syarikat Hektar Group of Companies, semalam.

Fotografi Pertandingan Choral Speaking 2019 Piala HEKTAR di Bandar Muar, Johor. foto MALAYSIA GAZETTE, 08 NOVEMBER 2019

Pengurus Kanan Kumpulan Pemasaran Hektar Property Services Sdn Bhd, Mira Rahman yang ditemubual MalaysiaGazette sempat berkongsi perasaan teruja beliau dengan Piala Hektar ini.

Mira yang juga tulang belakang di sebalik penganjuran Piala Hektar ini mendedahkan, pihaknya begitu komited dalam memartabatkan pendidikan negara, sekali gus memberi peluang kepada sekolah serta para pelajarnya menyertai pertandingan seumpama ini.

Kata beliau, objektif utama Piala Hektar ini adalah mencungkil dan mengenal pasti bakat-bakat terpendam dalam kalangan para pelajar.

“Kita sudah masuk tahun kedua, kita berharap dapat meneruskan Piala Hektar pada tahun-tahun berikutnya nanti. Anda sendiri nampak bagaimana ia mendapat sambutan melalui penyertaan 1,200 pelajar secara keseluruhan.

“Perasaan begitu teruja, gembira dalam kalangan guru-guru serta anak murid yang saling bersaing untuk memberi persembahan paling baik merupakan satu kepuasan buat diri kami di Hektar.

“Kita juga lebih cenderung untuk mengadakan choral speaking berbanding pertandingan lain kerana asas utama dalam ini adalah ‘team work’ atau kerjasama antara satu sama lain. Bukan sahaja kita mahu cungkil bakat, sebaliknya juga bantu mereka mempelajari asas kerjasama antara satu sama lain.

“Kita juga mahu memperkukuhkan lagi penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Selain itu, apabila tajuk diberikan, mereka akan memerah otak bagi meghasilkan skrip paling hebat dan kreatif sebaik mungkin.

“Tajuk kita kali ini, ‘Penggunaan Sosial Media Bagi Masa Depan Hijau’ yang pastinya bagi cabaran kepada merek. Mereka perlu kritis dalam mencari langkah-langkah terbaik bagi ‘Better Malaysia’,” katanya.

Mira Rahman

Kata Mira lagi,  penganjuran pertandingan ini diadakan di enam pusat beli-belah milik mereka iaitu di sekitar Subang Jaya, Melaka, Muar, Sungai Petani, Kulim dan Segamat.

“Kita ada enam pusat beli belah, jadi kita bawa pertandingan yang tujuannya untuk  memperkasakan pendidikan dalam komuniti pusat beli belah kita.

“Kita mahu mendekatkan diri dengan para pengujung kita, kita adakan pertandingan serta acara sebegini supaya memberi manfaat kepada semua. Dan, ianya sungguh berkesan,” ujarnya lagi.

Pertandingan Piala Hektar 2019 telah dimenangi oleh  SMK Subang Utama, Subang Jaya.

Sekolah ini juga merupakan juara bertahan dan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 selain trofi serta sijil.

Selain daripada pertandingan ini, Hektar juga mengambil peluang untuk meluaskan aktiviti CSR mereka dengan menderma sebanyak RM1,000 kepada kanak-kanak kurang sindrom down di KIWANIS, Muar.

Hektar Group of Companies terlibat dalam Amanah Pelaburan Harta Tanah (REIT) yang merupakan peruncitan pertama REIT di Malaysia.

REIT Hektar disenaraikan pada tahun 2006 dan setakat tahun 2018, ia memiliki aset bernilai RM1.2 bilion.

Hektar REIT diuruskan oleh Hektar Asset Management Sdn Bhd dan portfolio hartanahnya diuruskan oleh Hektar Property Services Sdn Bhd.

Antara portfolio termasuk Subang Parade (Selangor), Mahkota Parade (Melaka), Central Square dan Kulim Central (Kedah), Segamat Central, Wetex Parade & Classic Hotel (Johor). –MalaysiaGazette

+ posts