KUALA LUMPUR- Banyak kejayaan yang telah dilakar oleh kerajaan Pakatan Harapan sejak merampas tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan Dasar Kemakmuran Bersama yang menekankan perkongsian kekayaan negara dengan setiap rakyat dapat dicapai.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pentadbiran kerajaan sekarang berhadapan dengan tempoh sukar untuk menyelesaikan banyak isu ekonomi termasuk yang melibatkan rasuah, kemiskinan dan pengangguran.
Menurut beliau, ini disebabkan oleh pertumbuhan negara yang telah terbantut sejak sedekad lalu.
Kerajaan juga katanya terpaksa berdepan dengan taikun-taikun perniagaan yang tamak dan sudah selesa dengan cara pentadbiran terdahulu.
“Kenapa saya bercakap mengenai kemiskinan? Kerana jargon-jargon ekonomi biasa tidak berjaya membuatkan saya kagum, saya harap kamu juga tidak terpersona.
“Kita berjaya menyelesaikan isu-isu rasuah yang teruk. Ada yang kita berjaya dan ada banyak lagi yang masih kita usahakan.
“Rasuah merupakan isu yang kita terpaksa hadapi begitu juga dengan taikun-taikun yang tamak.
“Kami masih perlu berusaha menyelesaikan isu-isu ini.
“Tidak mudah kepada pentadbiran sekarang untuk menukar polisi-polisi sedia ada tetapi kita berusaha,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi Belia di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada golongan muda supaya mengubah naratif kepada perkongsian kemakmuran bersama seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Katanya, biar apa pun perkataan yang digunakan sama ada reformasi mahupun transformasi namun apa yang penting adalah mengakui setiap warga Malaysia mempunyai hak yang sama untuk menikmati kemakmuran negara.
“Jika anda mahukan Malaysia terus hidup, andalah orang yang seharusnya mengubah naratifnya,” katanya lagi.
Forum Ekonomi Belia dianjurkan oleh Persatuan Alumni Felo Perdana selepas mendapat inspirasi daripada Forum Ekonomi Dunia.
Antara speaker yang terlibat berkongsi pandangan pada hari ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tunku Alizakri Alias, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid dan Profesor Politik dan Ekonomi Universiti Malaya, Prof. Dr. Edmund Terence Gomez.- MalaysiaGazette
Aku nak jadi PM ,suka hati aku la ..nak go head gostan ke..biarlah yg kat YouTube tu di jadikan sejarah dlm kementerian pendidikan.