Home Seni Hidup Zul Ariffin, Intan Najuwa perlu nikah segera

Zul Ariffin, Intan Najuwa perlu nikah segera

KUALA LUMPUR – Pencetus Ummah (PU) Syed menasihati Zul Ariffin dan Intan Najuwa agar segera bernikah selepas imej kedua-dua pelakon terbabit bergambar mesra menjadi tular di media sosial.

Menerusi Instagramnya, Syed atau nama penuhnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata demikian dalam teguran secara terbuka.

“Tersebar gambar kalian berdua berpelukan seakan suami isteri di dalam air. Ambe tak mahu kongsikan gambar tersebut kerana ia sangat tidak senonoh walau apa jua alasan.

“Sebaiknya kalian bernikah saja dan sudah pasti boleh lakukan apa saja secara halal namun tetap ada batasannya,” katanya.

Semalam, aksi mandi air laut Intan bersama – pasangan gandingannya dalam drama yang sedang bersiaran di TV3 Setelah Ku Dimiliki, iaitu – Zul mengundang perhatian netizen kerana menunjukkan aktor itu mengangkat, selain memeluk aktres berkenaan.

Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid sebelum ini turut mengundang perhatian umum apabila wanita yang menjadi tunangan orang itu dikecam kerana berpelukan dengan hero dalam drama lakonannya iaitu Idris Khan.

Media melaporkan pengarah Osman Ali dan penolong pengarah, Jai Nadxaman menegaskan aksi mesra dalam foto berkenaan sebenarnya tidak terdapat dalam babak drama.

Pada masa sama, Syed juga mempersoalkan kedua-dua pelakon itu sama ada mereka menganggap perintah dan larangan Allah begitu murah hingga sanggup melanggarnya.

Menurut Syed, perbuatan dilakukan itu menunjukkan mereka seolah-olah ingin sangat masuk ke neraka.

“Sebagai seorang muslim syarak ada menetapkan sesuatu yang halal dan haram, apatah lagi kita semua menyatakan takut dihumban ke neraka dan ingin masuk ke syurga.

“Namun kita lakukan perkara sebaliknya seolah-olah teringin benar ke neraka,” katanya.

Pada hantaran sama, Syed juga mencadangkan kepada menteri agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memperuntukkan satu garis panduan bagi memantau aktiviti artis.

“Saya rasa perlu menteri agama dan Jakim membuat satu garis panduan, bahkan menggubal undang-undang khas bagi membendung artis-artis yang menunjukkan gaya kehidupan yang negatif agar kembali ke landasan sebenar,” katanya.

Tambahnya, takzir (hukuman) adalah wajar dikenakan ke atas golongan sedemikian. – MalaysiaGazette