Home Politik Bersatu akan bermesyuarat esok, dengar penjelasan MB Perak

Bersatu akan bermesyuarat esok, dengar penjelasan MB Perak

Marzuki Yahya

GEORGE TOWN  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu pada esok bagi mendengar penjelasan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung video tular rakaman perbualannya ketika berkempen di pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, mesyurat itu diadakan bagi meminta Ahmad Faizal mengemukakan alasannya terhadap perkara yang diperkatakan semasa kempen tersebut.

“Ya sudah semestinya kita akan bertanya sebab-sebab yang dimaksudkan Menteri Besar Perak esok. Bagi saya perkara-perkara macam ini bukanlah suatu perkara yang besar, di mana sebelum ini pun ada juga kenyataan-kenyataan yang agak sensitif yang dilontarkan bukan sahaja dari Bersatu tetapi juga daripada rakan-rakan kita yang lain umpamanya Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu, Ronnie Liu baru-baru ini.

“Maka kesemua ini kita akan cuba bendung dan kawal terutama pemimpin-pemimpin kita di peringkat negeri dan juga peringkat bahagian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Berhikmah peringkat negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, pada pengamatannya, apa yang cuba disampaikan oleh menteri besar perak itu adalah lain tidak lain adalah berhubung pengalamannya.

“Jadi ini bukan bererti kalau kita bercerita tentang pengalaman, kita hendak mencari masalah dan saya tidak melihat ini masalah yang besar dan fokus kita adalah PRK Tanjung Piai. Pada saya ia bukan kesalahan besar,” katanya.

Sementara itu berkenaan PRK Tanjung Piai, Marzuki menzahirkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan dengan kemenangan akan beroleh kepada calon PH.

“Saya melihat ada satu usaha yang begitu baki dari rakan-rakan kta di sana bagi memastikan kemenangan di Tanjung Piai. Jika di peringkat awal kita agak kebelakang tetapi hari ini kita dapat lihat perubahan dan sokongan kepada Pakatan Harapan dilihat begitu positif, saya yakin penduduk di Tanjung Piai akan memberi sokongan kepada calon kita,” katanya.

PRK kerusi parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock; dan seorang ahloi perniagaan, Faridah Aryani Abd Ghaffar. – Bernama