Home Nasional BN rujuk jawatankuasa pemantau perjelas isu pemberian kad sim

BN rujuk jawatankuasa pemantau perjelas isu pemberian kad sim

Datuk Hasni Mohammad

PONTIAN – Barisan Nasional (BN) akan merujuk kepada jawatankuasa pemantau bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa cuba menyogok pengundi dengan pemberian kad sim pra bayar telekomunikasi.

Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, langkah itu perlu bagi mengelak ia daripada berulang dan pihak berkuasa harus bertindak segera menyiasat perkara yng didedahkan.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin MCA semalam berhubung perkara itu sememangnya relevan kerana PH dengan jelas telah menjalankan aktiviti yang boleh dianggap sebagai menyogok pengundi ketika kempen sedang berlangsung.

“Ianya bukanlah diukur dari segi nilai saja untuk sesuatu perbuatan itu dianggap menyogok pengundi.

“Jadi, memberi kad sim itu secara umum kepada pengundi juga saya bertentangan dengan peraturan pilihan raya.

“Saya harap pihak berkuasa akan ambil langkah-langkah sewajarnya untuk elak daripada perkara ini berulang dan saya akan rujuk kepada jawataknkuasa pemantau bagi mendapatkan penjelasan tentang tindakan parti Bersatu ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Hasni berkata demikian mengulas pendedahan aktiviti mencurigakan dalam ceramah PH apabila didakwa berlaku sogokan kepada pengundi dengan memberikan secara percuma kad sim prabayar telekomunikasi.

Pendedahan itu dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong pada sidang media yang diadakan semalam.

Menurut Ka Siong, aktiviti itu berlaku dalam ceramah di Rumah Pemuda Harapan Tenggara di Parit Haji Othman, Kampung Seri Bunian Batu, di sini, malam kemarin.

Ia turut dihadiri Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan calon PH, Karmaine Sardini, katanya.

Malah, Ka Siong turut mendakwa perkara itu turut disaksikan pegawai-pegawai pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota polis yang mengawasi ceramah tersebut.

Sementara itu, ketika ditanya mengapa BN menutup awal PDM yang digunakan untuk mengadakan ceramah, Hasni menjelaskan, ia disebabkan program yang diadakan di situ selesai dengan cepat.

Berdasarkan pemerhatian, BN sering tutup “kedai awal” di setiap PDM yang mengadakan ceramah.

Kelihatan juga ramai pegawai pemerhati SPR yang melakukan pemantauan bertumpu dalam semua ceramah kempen diadakan oleh BN. – MalaysiaGazette

PH didakwa sogok pengundi dengan kad prabayar di hadapan SPR, polis