Home Politik Tak percaya ceramah MCA macam ceramah DAP semasa PRU14 – KJ

Tak percaya ceramah MCA macam ceramah DAP semasa PRU14 – KJ

Khairy Jamaluddin.

PONTIAN – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar seakan tidak percaya ceramah pilihan raya anjuran MCA yang dihadirinya malam ini seperti ceramah DAP sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, kehadiran ramai pengundi Cina ke program ceramah Barisan Nasional (BN) itu seolah-olah petanda baik bahawa masyarakat Tionghua kini telah kembali menyokong parti yang pernah menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, BN tidak boleh terlalu yakin terhadap trend peningkatan kehadiran masyarakat Cina itu kerana penentunya nanti adalah pada hari pengundian yang akan berlangsung 16 November ini.

“Saya macam tidak percaya ceramah malam ini ceramah MCA, sebab ramai macam ceramah DAP.

“Ini satu petanda positif, tetapi BN tidak boleh terlalu yakin…Kita kena terus bekerja dekati pengundi Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Duku, di sini malam ini.

Hadir sama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Penduduk yang hadir pada Ceramah War Truck Barisan Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2019.

Dalam pada itu Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau mengakui kesilapan kerana tidak lagi menyokong perjuangan BN setelah parti itu tewas pada PRU14 lalu.

Dengan menyifatkan sifat besar kepalanya sudah ‘dipicit-picit’ Khairy yang juga bekas ketua pemuda UMNO Malaysia mahu memfokuskan perjuangannya dalam BN.

“Saya akui dahulu ada buat kesilapan…tetapi kepala saya sudah kena picit-picit…kepala sudah kecik.

“Yang sudah besar kepala macam DAP, kita jatuhkan dia. Jadi, saya hendak minta tolong sangat, jangan dengar suara DAP berkata sokongan kepada MCA bermakna sokong Melayu ekstrem

“Selagi saya ada dalam UMNO, kita kekalkan semangat UMNO, MCA, MIC dalam BN… pilihan raya kecil Tanjung Piai kali ini saya minta kita undi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas ceramah berkenaan, Khairy memberitahu, rakyat kini sudah sedar dan mereka tidak mahu selama-lamanya dengan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, beliau berharap agar ada pergerakan yang ditunjukkan di Tanjung Piai dan pengundi di kawasan Parlimen berkenaan perlu membuktikannya dengan menyokong kembali BN.

Ceramah berkelompok anjuran MCA dan BN terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pengundi Cina sejak kempen PRK Tanjung Piai bermula 2 November lalu.

Sekurang-kurangnya 1,000 penduduk Cina hadir dalam program ceramah MCA yang diadakan malam ini,

Perkara itu sekaligus memberi gambaran kemungkinan pengundi Cina beralih sokongan dan menjadikan PRK Parlimen Tanjung Piai medan buat mereka menyuarakan ketidakpuashatian terhadap prestasi PH sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 9 Mei tahun lepas. – MalaysiaGazette