Home Sukan Sumareh idam Pemain Tengah Terbaik

Sumareh idam Pemain Tengah Terbaik

Mohamadou Sumareh. foto MALAYSIA GAZETTE, 20 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Menyaksikan rakan seperjuangan diraikan dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) saban tahun menjadikan pemain tengah Pahang, Mohamadou Sumareh menyimpan misi sama untuk turut berada di atas pentas dalam majlis berprestij itu.

Hasratnya semakin hampir untuk menjadi kenyataan apabila tercalon dalam kelompok tiga terbaik bagi kategori Pemain Tengah Terbaik ABK 2019 bersama dua lagi pesaing iaitu rakan sepasukan, Nor Azam Azih dan tonggak utama Perak, Brendan Gan.

Sudah pasti, ini adalah satu pengiktirafan yang cukup bermakna buat pemain naturalisasi negara ini apabila tercalon buat julung kalinya kerana sudah lama mengimpikan untuk berada dalam acara kemuncak arena bolasepak Malaysia ini sebagai calon pemenang.

Namun, untuk dinobatkan sebagai pemenang bukannya mudah berdasarkan prestasi semasa yang telah ditampilkan oleh Azam dan juga Brendan yang kembali mencuri tumpuan selepas bangkit daripada kecederaan serius, ACL sebanyak dua kali.

“Secara jujurnya, saya cukup gembira apabila melihat rakan-rakan diraikan dalam anugerah berprestiji seperti itu selain dapat hadir mengenakan pakaian yang cukup segak dan bergaya.

“Bagi saya, suasana sebegitu cukup indah untuk dirasai dan lebih manis apabila kemenangan itu berpihak kepada kita di samping tepukan gemuruh yang diperoleh dalam satu majlis yang cukup besar itu.

“Saya belum pernah lagi merasai saat sebegitu dan tercalon dalam kelompok tiga terbaik sudah cukup memberi satu kepuasan dan diharapkan rezeki akan berpihak kepada saya untuk menaiki pentas utama tahun ini,” jelasnya.

Bagaimanapun impian pemain kelahiran Gambia itu mungkin disekat rakan sepasukan, Azam yang dilihat turut menampilkan prestasi cemerlang bersama skuad Tok Gajah.

“Mendapat pencalonan buat kali ketiga berturut-turut bagi anugerah ini sudah merupakan satu pencapaian baik selepas bekerja keras bersama Pahang,musim ini.

“Saya tidak letak harapan tinggi untuk menang dan memilih Brendan Gan untuk menang gelaran ini pada tahun ini berdasarkan aksi konsistennya sepanjang bersama Perak malah saya hormati dia sebagai pemain yang kaya dengan pengalaman,” jelas Azam.

Bagi Brendan pula, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk mendominasi anugerah itu meskipun mendapat pujian pencabarnya, Azam.

“Satu kepuasan untuk karier saya apabila tercalon dalam kategori ini walaupun masih ramai lagi yang sebenarnya tidak kurang hebat dalam mempamerkan prestasi terbaik pada musim ini.

“Namun, di mana saya berada ketika ini adalah bantuan daripada rakan-rakan juga yang sentiasa memberi dorongan dan susah senang kami harungi bersama-sama.

“Apa yang penting, saya percaya dengan kerja keras, akan terhasilnya keputusan positif dan yang menariknya adalah apabila saya tercalon bersama-sama dua pemain, Sumareh dan Azam yang mana semua orang tahu tahap pencapaian mereka di atas padang selama ini bukan calang-calang”, katanya.

Untuk rekod, bekas kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik 2015 dan 2016 diikuti Baddrol Bakhtiar pada tahun berikutnya.

Tonggak utama JDT, Safawi Rasid curi tumpuan pada edisi lalu apabila menjadi pemenang bagi kategori tersebut yang turut menjulang gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) 2018.