Home Nasional Bahan kempen hasut, provokasi akan diturunkan serta merta

Bahan kempen hasut, provokasi akan diturunkan serta merta

Azhar Azizan Harun

PONTIAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  mengingatkan calon Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai bahawa polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan berkempen.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia diputuskan hasil perbincangan dengan pegawai-pegawai SPR dan Ketua Polis Daerah Tanjung Piai, Superintendan Mustafa Bakri Salleh yang bertujuan menyelaraskan dan memperjelaskan isu-isu berkaitan permit dan peraturan berkempen terutamanya program walkabout.

Katanya , semua parti atau calon dinasihatkan mematuhi syarat permit yang telah ditetapkan termasuk program walkabout yang dianggap sebagai kempen bergerak yang mempunyai tempoh masa dan lokasi yang perlu dipatuhi.

“Bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah, perlu juga mendapat permit dari PDRM kerana ia juga merupakan suatu bentuk berkempen.

“Bahan kempen yang berunsurkan hasutan dan provokasi akan diturunkan serta merta. Bahan kempen yang tidak memaparkan nama dan alamat penerbit dan pencetak juga akan diturunkan.

“Mana-mana bendera yang dikibar atau digantung di tepi jalan yang boleh menggangu penglihatan dan berbahaya pada orang ramai akan diturunkan,” katanya dalam kenyataan itu.

Tamnbahnya, peraturan tersebut juga diguna pakai untuk bendera yang dikibar atau digantung pada kenderaan yang boleh berbahaya orang ramai.

Menurut beliau, kenderaan yang digunakan untuk berkempen yang dipasang dengan bendera dan alat pembesar suara serta bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi hendaklah memohon permit berkempen daripada pihak PDRM.

“Kenderaan bergerak yang digunakan untuk berkempen ini hendaklah menutup suara dan sebarang rakaman kempen semasa bergerak dan hanya membukanya apabila kenderaan berhenti di lokasi berkempen yang bersesuaian serta tidak menghalang lalu lintas.

“SPR juga akan melaporkan maklumat berkaitan statistik kesalahan serta statistik bilangan laporan polis dan laporan SPRM yang dibuat sepanjang tempoh berkempen pada laman web SPR, serta Facebook dan twitter SPR setiap hari sepanjang tempoh pilihan raya kecil ini.

“Kami berharap semua calon dan parti akan berkempen dengan lebih matang sepanjang tempoh berkempen yang berbaki 5 hari lagi serta mematuhi peraturan berkempen agar PRK Tanjung Piai berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette