Home Sukan Hamada mahu Hadi Fayyadh berusaha lebih keras

Hamada mahu Hadi Fayyadh berusaha lebih keras

Penyerang Malaysia B-23, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (tengah).

KUALA LUMPUR – Penyerang muda negara Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak yang masih bergelut untuk mendapat tempat dalam pasukan utama Fagiano Okayama sejak bergelar sebagai pemain antarabangsa di kelab Divisyen Dua Liga Jepun (J2), pada Disember 2018 dinasihati supaya berusaha lebih keras dan jangan menunggu lama.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia Hiroshi Hamada yang juga merupakan penaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui bahawa bekas penyerang Johor Darul Ta’zim II itu mempunyai fizikal yang baik sebagai pemain bola sepak, tetapi pemain itu mesti meningkatkan kemahirannya terutamanya dalam menggelecek untuk berpeluang bermain dalam kesebelasan pemain pertama.

“Keadaan ini (kekurangan masa bermain) tidak hanya berlaku kepada Hadi Fayyadh tetapi juga pemain lain dalam Liga Jepun oleh itu, dia perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat di skuad utama.

“Saya fikir Hadi Fayyadh perlu memperbaiki kedudukannya, selain terus mengejar bola daripada menunggu bola datang kepadanya, kerana gaya bermain Jepun berubah dengan pantas dalam setiap perlawanan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bernama difahamkan penampilan Hadi Fayyadh untuk kelab itu hanya dalam Liga -J Ikusei, sebuah pertandingan pembangunan bagi pemain profesional yang tidak dapat sentiasa bermain bagi kelab masing-masing.

Selain Fagiano Okayama, kelab lain yang turut mengambil bahagian ialah Gainare Tottori, Renofa Yamaguchi, Tokushima Vortis, Ehime FC dan Sanfrecce Hiroshima.

Untuk rekod, Muhammad Hadi Fayyadh menjalani dua percubaan dengan Fagiano Okayama pada bulan September dan November 2018, sebelum pengurusan kelab memutuskan untuk menawarkan kontrak satu tahun dan impiannya bermain di Liga J2 terlaksana berikutan bantuan Yakult Malaysia.- BERNAMA