Home Sukan Syed Saddiq mahu kemelut MPM selesai sebelum 2020

Syed Saddiq mahu kemelut MPM selesai sebelum 2020

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PUTRAJAYA – Kemelut yang melanda Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) membabitkan penangguhan mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan, perlu diselesaikan sebelum tahun 2020, tegas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq yang kecewa dengan kegagalan MPM membentuk kepimpinan baharu bagi penggal 2019-2023 itu menyifatkan tanggungjawab ke atas atlet paralimpik negara akan terabai sekiranya kemelut tersebut terus berlarutan.

“Saya tidak mahu menyatakan mengenai tarikh akhir (kemelut diselesaikan) tetapi secara umum saya mahu semuanya diselesaikan tahun ini juga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pelancaran Pakaian Rasmi Team Mas di Dewan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Difahamkan, status bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF) menimbulkan masalah kepada proses pencalonan kepimpinan baharu MPM.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata beliau enggan campur tangan dan memberi laluan untuk ia diselesaikan mengikut peraturan sedia ada.

“Saya dapat laporan ada pertikaian dari segi pelantikan dilakukan oleh salah satu persatuan yang menyebabkan pencalonan menjadi masalah tetapi sebagai menteri, saya cuba untuk tidak masuk campur dan biar ia selesai ikut peraturan sedia ada.

“Dalam perkara ini secara jujurnya saya agak kecewa kerana sudah berbulan-bulan ia (kemelut) berlarutan dan MPM tidak dapat jalankan tugas dan tanggungjawab mereka. Sukan Para ASEAN 2019 sudah dekat dan persiapan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 perlu bermula awal,” tambah beliau.

Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam satu surat rasmi yang ditandatangani ketua penolong PJS, Asmadi Mohamad baru-baru ini menyatakan pelantikan Khairy sebagai Timbalan Presiden MWRF adalah tidak sah dan boleh dipertikaikan kesahihannya.

Pada 29 Jun lalu, barisan kepimpinan baharu MPM bagi penggal 2019-2023 masih kosong selepas AGM ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Kedua-dua calon jawatan Presiden MPM, Khairy dan pencabarnya Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin tidak kelihatan pada AGM tersebut.- BERNAMA