Home Ekonomi TH fokus pulangan tetap dan kurang risiko

TH fokus pulangan tetap dan kurang risiko

Nik Mohd Hasyudeen Yusoff

KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji (TH) mengubah strategi dengan memberi fokus kepada aset-aset yang memberi pulangan tetap dan stabil seperti sukuk dan hartanah.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff, TH masih mengekalkan instrumen pelaburan seperti sebelum ini iaitu dalam sukuk, hartanah dan ekuiti.

Bagaimanapun, entiti itu kini lebih berhati-hati bagi memastikan setiap pelaburan mampu memberi pulangan terbaik kepada pendeposit.

“Pelaburan dalam sukuk memberikan pulangan yang lebih stabil manakala dalam hartanah pula kami melabur dalam bangunan-bangunan pejabat yang disewakan.

“Ini memberi pendapatan tetap kepada TH.

“Kami cuma mengubah dari segi jumlah dana yang mahu dilaburkan dan memberi fokus kepada aset-aset yang memberi pulangan tetap seperti sukuk dan hartanah.

“Kami masih melabur dalam cara yang lebih terpilih supaya dapat mengawal risiko pelaburan di samping cuba memberikan pulangan terbaik kepada pendeposit,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan Sumbangan Program Iqra’ TH 2019 di sini hari ini.

Tambah Nik Mohd. Hasyudeen, TH sentiasa memantau dan melabur dalam saham-saham yang memberi pulangan tinggi, mempunyai fundamental yang kukuh serta berada dalam industri yang dikira sebagai berdaya maju.

“Kita hendak melabur dengan cara yang lebih mantap dan cuba menguruskan kos serta memberi pulangan terbaik kepada pendeposit,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab ketika ditanya mengenai jangkaan kadar hibah bagi tahun kewangan 2019.

Dalam kenyataan-kenyataan sebelum ini, TH mengumumkan jumlah asetnya telah melebihi liabiliti hasil pelan pemulihan dan penstrukturan semula syarikat.

Ketika ditanya mengenai cadangan untuk mewujudkan dua akaun deposit berasingan, Nik Mohd. Hasyudeen berkata, perkara tersebut masih belum diperincikan lagi.

Beliau yang baru dilantik menerajui TH pada 1 September lalu berkata, fokus TH ketika ini adalah satu akaun deposit sahaja.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, satu kajian mengenai dua akaun deposit TH sedang dilaksanakan.

Kajian tersebut dilakukan kerana terdapat pendeposit yang menyimpan di TH untuk mengerjakan ibadat haji manakala terdapat juga golongan pendeposit yang menggunakan entiti tersebut sebagai simpanan pelaburan. – MalaysiaGazette