PONTIAN – Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Mahmmod Kassim yang membuat laporan polis terhadap dirinya.
Beliau juga hairan bagaimana permintaannya agar Menteri Pendidikan, Maszlee Malik memberi penjelasan berhubung program pertukaran guru bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dari Arab Saudi ke negara baru-baru ini boleh dianggap sebagai fitnah.
Katanya, adalah lebih baik sekiranya Mahmood mengkaji terlebih dahulu tentang perkara yang dibangkitkan sebelum dia bertindak secara terburu-buru membuat laporan polis.
“Saya tak faham, kenapa bila saya minta supaya Maszlee Malik memberikan penjelasan berhubung perkara itu boleh dianggap fitnah.
“Adalah lebih baik sekiranya Mahmood melayari Facebook dan baca kenyataan saya. Kalau nak lebih mudah lagi dia boleh tengok video sidang media yang saya buat pada 10 November.
“Kalau ada fitnah bolehlah dia buat laporan polis. Jangan dia suka hati nak buat dakwaan atau cuba untuk memfitnahkan saya pula,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dominic mendakwa, laporan polis yang dibuat juga jelas menunjukkan bahawa terdapat agenda politik oleh Pakatan Harapan (PH) bagi menjejaskan kempen calon parti itu di PRK Tanjung Piai.
Dalam pada itu Dominic turut berterima kasih kepada Mahmood kerana tindakannya itu secara tidak langsung membuktikan tuduhan bahawa Gerakan menerima dana RM1 juta daripada PH sebagai tidak benar.
Ujarnya, jika tuduhan yang dilemparkan kepada Gerakan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai itu berlangsung adalah betul, sudah pasti tidak akan ada laporan polis dibuat seperti itu.
“Oleh itu khabar-khabar angin yang didengar adalah dengan jelasnya tidak benar dan ia merupakan tuduhan dengan niat untuk menasabotaj calon kami,” ujarnya.
Bagaimanapun, Dominic menjelaskan beliau tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak berkuasa selepas laporan berkenaan dibuat.
Katanya, jika perkara itu berlaku beliau bersedia untuk memnberikan kerjasama kepada pihak berkenaan sebagai menunjukkkan rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang patuh dengan peraturan dan undang-undang.
Semalam, Mahmood dilapor membuat satu laporan polis terhadap Dominic selepas didakwa menfitnah dengan menggunakan fakta salah serta menyebarkan persepsi negatif terhadap menteri pendidikan dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Pada 10 November lepas, Dominic meminta Kementerian Pendidikan memberi penjelasan berhubung program pertukaran guru bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dari Arab Saudi ke negara ini.
Iklan
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan Dr. Maszlee Malik bersama Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Hamad Mohammed Al Shaikh baru-baru ini. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan: