Home Ekonomi Kerajaan masih ada ruang fiskal untuk pakej rangsangan

Kerajaan masih ada ruang fiskal untuk pakej rangsangan

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menandatangani plak sebagai simbolik perasmian sambil diiringi Pengerusi Dagang NeXchange Berhad (DNeX), Tan Sri Abdul Rahman Mamat (kanan), Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX, Datuk Samsul Husin (dua kiri) dan Pengerusi Mesyuarat PAA, Mr Kam Keung Tse (kiri) pada Majlis Perasmian Mesyuarat 60th Pan-Asian E-Commerce Alliance (PAA) di Cyberview Resort and SPA, Cyberjaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 NOVEMBER 2019

CYBERJAYA- Kerajaan masih mempunyai ruang fiskal sekiranya berhasrat untuk melancarkan pakej rangsangan ekonomi, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau bagaimanapun enggan berkongsi saiz atau jumlah dana bagi pakej rangsangan tersebut.

Tegasnya, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi itu hanya akan dilaksanakan sekiranya keadaan ekonomi semakin teruk pada tahun depan.

Ini termasuk kesan daripada perang perdagangan Amerika Syarikat-China sekiranya rundingan masih belum dapat dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

“Pakej rangsangan ekonomi itu akan dilaksanakan sekiranya ekonomi semakin teruk tetapi unjuran pada tahun ini adalah mapan.

“Jika ada apa-apa keperluan, mungkin tahun depan. Ini semua bergantung kepada perang perdagangan AS-China,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan mesyuarat e-dangan Pan Asian ke-60 di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, buat sementara waktu, kerajaan telah mengumumkan baucer percuma sebanyak RM30 bagi penggunaan e-dompet semasa pembentangan Belanjawan 2020 yang lalu.

“Kita buat e-dompet untuk Januari dan Februari, jadi sesiapa yang berbelanja menggunakan e-dompet dapatlah tambahan RM30,” katanya lagi.

Beliau juga berharap lebih ramai penyedia perkhidmatan menyertai inisiatif terbaharu itu.

Pelaksanaan e-dompet sedang disiapkan oleh Khazanah Nasional Bhd.

Semasa pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan telah menawarkan rangsangan digital secara one-off bernilai RM30 kepada rakyat Malaysia yang layak bagi mempercepatkan transformasi ke arah penggunaan e-Dompet dalam masyarakat dan peniaga.

Rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima insentif berkenaan.

Kerajaan akan memperuntukkan sehingga RM450 juta kepada Khazanah Nasional untuk melaksanakan insentif ini yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia.- MalaysiaGazette