KARACHI – Pakistan mempamerkan patung yang menyerupai juruterbang Tentera Udara India yang ditawan, Abhinandan Vartaman, di sebuah muzium Tentera Udara Pakistan di sini, menurut laporan media.
Juruterbang itu ditawan selama tiga hari selepas jet pejuangnya ditembak jatuh semasa pertempuran di udara.
Ketua Pemerintah Udara Pakistan, Mujahid Anwar merasmikan ruangan baru Muzium Tentera Udara Pakistan pada minggu ini di mana patung yang menyerupai Varthaman yang bermisai tebal dipamerkan, lapor Express Tribune.
Badan dan ekor pesawat pejuang, MiG-21, diletakkan berdekatan dengan patung juruterbang itu.
Galeri yang diberi nama ‘Operation Swift Retort’ juga mempamerkan imej yang dilakon semula saat-saat pesawat Vartaman ditembak jatuh dan gambar menunjukkan beliau diserahkan kepada India di pintu sempadan Wagah.
Tentera Pakistan menawan Varthman pada 27 Februari selepas pesawat MiG-21, Bison, ditembak jatuh ketika bertempur dengan jet pejuang Pakistan.
Sebelum pesawat itu ditembak jatuh, beliau menembak pesawat jet pejuang Pakistan, F-16. Beliau dibebaskan Pakistan pada malam 1 Mac.
Varthaman yang menunjukkan keberanian dalam menghadapi keadaan yang sukar dianugerahkan pingat ketiga tertinggi India dalam peperangan, Vir Chakra. – Agensi