PEKAN NANAS – Peraturan baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewajibkan semua calon-calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Pai memohon permit polis bagi kempen rumah ke rumah adalah adil dan tidak seharusnya dipertikaikan mana mana pihak.
Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini yakin arahan tersebut dikeluarkan atas faktor keselamatan dan pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mematuhinya.
“Kita tidak ada masalah dengan arahan SPR dan polis, kami akan mematuhi arahan itu.
“Sangat munasabah apa yang diminta oleh pihak berkuasa kita akan ikut peraturan permit rumah ke rumah, munasabah dan polis nak jaga keselamatan,” katanya kepada pemberita di Taman Utama hari ini.
Beliau terdahulu telah melawat penduduk yang uzur dalam program Zirah Kasih yang merupakan sebahagian daripada kempen PRK Tanjung Piai pagi ini.
Ditanya mengenai kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menempelak arahan SPR itu sebagai tidak masuk akal, beliau berkata, tindakan itu tidak wajar ditunjukkan pemimpin BN itu.
“Tidak adil. tidak ada masalah untuk kita mohon permit.
“Kita pergi hantar borang sekejap sahaja sudah diluluskan tidak ada masalah pun.
“Ikutlah peraturan (pembangkang) kita nak peraturan ditegakkan. polis dan SPR cuma nak tahu dan memantau pergerakan kita atas faktor keselamatan calon sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
Akta mana SPR tetapkan kempen rumah ke rumah perlu permit – Ismail Sabri