KUKUP – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memilih Naib Presiden PKR, Tian Chua bagi menyelesaikan kemelut ahli pemegang amanah Yayasan Pendidikan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang mengurus tadbir Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KTAR).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan itu diambil kerajaan untuk berbincang dan menasihati mereka selain berunding dengan pemimpin MCA.
Katanya, Tian Chua menemani Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berdialog isu UTAR dan KTAR dibangkitkan.
“Pendirian PH dalam soal pendidikan kita tidak akan pernah politikkan, tetapi undang-undang wajib dipatuhi, hal sebenar yang berlaku adalah kedudukan ahli pemegang amanah yayasan tadbir tidak mematuhi syarat, yang mana lebih separuh mestilah diisi wakil bebas sebarang pengaruh parti, jika tidak mereka tidak akan dapat perlepasan cukai LHDN, syarat bebas tidak dipatuhi,
“Oleh kerana kita tidak sekat dana pendidikan, kita ambil pendekatan berbincang dan menasihati mereka, minta Tian Chua berunding denga beberapa pemimpin MCA, mesti syarat Lembaga Pengarah (BOD) bebas atau 50 peratus bukan orang politik.
“Saya hendak beritahu bahawa tohmahan jahat UTAR akan ditutup seperti yang dilemparkan pembangkang adalah tidak benar, kita tidak akan tutup,” katanya dalam Ceramah Perdana Pakatan Harapan yang dihadiri Pengerusi PH. Tun Dr Mahathir Mohamad pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai malam ini.
Beliau mengingatkan lebih 2,000 hadirin mereka mempunyai 72 jam memilih PH.
“Kempen kena ringan mulut pergi cakap kepada makcik dan pemuda bahawa anda mewakili calon Haji Karmaine Sardini dari PH dan meminta jasa baik memberi sokongan padu dan mengundi kepada calon kami.
“Kalau Mei 2018 kita boleh memangkah demi mengubah seluruh negara menolak kerajaan lama, saya yakin kita juga sebenarnya boleh mengangkat Karmaine sebagai wakil Tanjung Piai,” katanya. – MalaysiaGazette