KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menguatkuasakan Liabiliti Korporat bagi mendukung hasrat kerajaan untuk Malaysia bersih dari rasuah.
Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, Liabiliti Korporat itu akan dikuatkuasakan melalui peruntukan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 oleh kerajaan.
Katanya, mana-mana organisasi, entiti atau syarikat yang termaktub di bawah organisasi komersial, harus bersedia dari sekarang untuk memantapkan Pelan Anti Rasuah masing-masing.
“Saya menyeru semua pihak sama-sama mendukung hasrat kerajaan untuk melihat Malaysia bersih daripada rasuah dengan merealisasikan hasrat Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).
“Hasrat ini dapat dicapai melalui pendekatan dan amalan dalam organisasi masing-masing untuk menghindarkan rasuah dan mengekang penyalahgunaan kuasa,” katanya pada Majlis Konvokesyen Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) kali ke-8 di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Konvokesyen itu disempurnakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd. Rahman.
Menurut Latheefa, sejak dua tahun ini, pihaknya telah melihat perkembangan terbaru dalam usaha pencegahan rasuah yang melibatkan semua pihak terutama sektor swasta seperti peruntukan Seksyen 17A Liabiliti Korporat ke dalam akta SPRM 2009.
Perkara itu, katanya, menjadi titik permulaan kesedaran dan pematuhan kepada semua organisasi komersial dengan memastikan menutup ruang dan peluang rasuah dalam menjalankan perniagaan dengan jujur dan berintegriti.
Kata beliau, sektor swasta telah mengambil inisiatif dengan menghantar pegawai menjalani program CeIO yang ditawarkan oleh MACA dan pada hari ini mereka telah ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Bertauliah dengan jayanya.
“Mereka ini akan memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan dan pencegahan rasuah dalam organisasi mereka.
“Pada Januari tahun ini pula, kerajaan telah melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang telah menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah bagi tempoh lima tahun bermula 2019 sehingga 2023 menerusi 115 inisiatif untuk dilaksanakan,” katanya.
SPRM pula, kata beliau, memainkan peranan penting dalam memastikan agar ianya berjaya mencapai dan dapat melaksanakan inisiatif yang telah ditetapkan.
“Komitmen semua pihak amat penting memastikan agenda nasional dalam pencegahan rasuah adalah terlaksana kerana ianya merupakan tanggungjawab kita bersama dan tidak hanya disandarkan kepada kerajaan dan SPRM semata-mata.
“Pegawai CeIO perlu memastikan sistem penyampaian perkhidmatan di sektor awam dan swasta dilaksanakan berasaskan kepada prosedur, peraturan dan undang-undang yang telah termaktub.
“CeIO juga tidak boleh bertolak ansur sama sekali dengan amalan atau perlakuan tidak berintegriti penjawat awam yang lain,” katanya.
Justeru, kata Latheefa, Pegawai Integriti Bertauliah sewajarnya memiliki dan mengamalkan integriti pada setiap masa.
Beliau berharap, peranan CeIO dapat menjadi tonggak pembinaan negara Malaysia Bersih bersandar kepada kekuatan integriti.
“Inisiatif integriti dan pencegahan rasuah yang dilaksanakan bukan setakat satu kegiatan untuk memperindahkan imej organisasi, tetapi ianya sesuatu yang mesti dijadikan amalan dalam berurusan setiap hari.
“Pembentukan jati diri yang unggul ditunjangi integriti bukan satu pilihan, sebaliknya kewajipan dan teras dalam agama iaitu melalui kehidupan berakhlak,” katanya.
Berhubung program itu, Latheefa berkata, ia merupakan antara inisiatif SPRM dalam memerangi isu dan permasalahan rasuah dalam negara.
“Ini adalah program latihan yang dilaksanakan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dalam tempoh empat minggu yang dijalankan separuh masa.
“Terdapat tiga matlamat utama program CeIO ini iaitu untuk memastikan pematuhan terhadap semua undang-undang, peraturan, sistem dan prosedur,” katanya. – MalaysiaGazette