Home Politik Tian Chua tidak pernah desak saya – Prabakaran

Tian Chua tidak pernah desak saya – Prabakaran

Tian Chua bersama Prabakaran

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, desakan beberapa pihak supaya beliau memberi laluan kepada bekas wakil rakyat di kawasan itu, Tian Chua tidak menjejaskan tugas seharian sebagai pemimpin yang dipilih di situ.

Melihat desakan itu sebagai sesuatu yang positif, katanya, Tian Chua yang terkenal dengan semangat reformasi itu tidak pernah mendesaknya atau berunding dengnnya supaya melepaskan jawatan baik selepas pilihan raya mahu pun apabila kesnya selesai.

Beliau berkata, ada dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendesaknya supaya memberi laluan kepada Tian Chua itu pernah dibantu olehnya.

“Ada juga aduan mengenai beberapa NGO yang tersenarai itu bahawa itu adalah kenyataan seseorang individu dan bukan mewakili NGO tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Prabakaran berkata, beliau berinteraksi dengan pengundi di kawasan tersebut setiap hari dan banyak program serta aktiviti yang dijalankan kawasan Parlimen Batu.

“Saya sedang menyelesaikan masalah mereka secara beransur-ansur dan dapat menyelesaikan beberapa masalah rumit yang di hadapi pengundi saya dalam tempoh yang singkat.

“Saya tekad untuk memberi penyelesaian terbaik dalam beberapa isu yang saya sedang tumpukan sekarang,” katanya.

Prabakaran berkata, sebagai salah seorang ahli Parlimen yang mewakili PKR, beliau ingin menyumbang tenaga dan usaha untuk kebaikan parti serta merealisasikan agenda reformasi.

“Saya akan berkhidmat untuk rakyat secara telus dan adil tanpa melepaskan mereka di pertengahan jalan,” katanya. – MalaysiaGazette