SHAH ALAM – Susulan kemunculan ‘anjing Hulk’ berwarna hijau di Mutiara Subang, Selangor yang pada mulanya dipercayai didera, Sinchew Daily melaporkan, turut dijumpai adalah ‘ayam Avatar’ berwarna biru.
Walau bagaimanapun, pemilik kilang di kawasan berkenaan menafikan haiwan-haiwan tersebut didera dan diwarnakan secara sengaja.
Binatang berwarna pelik itu sebaliknya dikatakan mencari makanan di tong sampah di satu lorong dan terkena bahan daripada sebuah kilang pengeluaran pewarna.
Wartawan yang cuba menghampiri kilang berkenaan bagaimanapun dihalang pekerja. Seorang individu yang dipercayai pemilik kilang bagaimanapun menghubungi pemberita selepas itu dan meminta tidak membuat laporan.
Selain menjelaskan punca kewujudan anjing hijau dan ayam biru, individu itu meminta gambar yang dirakamkan wartawan dipadamkan kerana laporan oleh media akan menyebabkan ramai orang hilang punca pendapatan.
Tinjauan oleh wartawan Sinchew Daily mendapati permukaan jalan di lorong belakang kilang dan air dalam longkang telah tercemar dan berwarna biru.
Isu anjing hijau mencuri perhatian apabila seorang pencinta haiwan kecil menggunakan media sosial mendedahkan apa yang dijumpai.
Pendedahan itu seterusnya mendapat perhatian pencinta hawain pelbagai kaum yang mahu membantu anjing itu.