Home Politik BN menang majoriti besar hanya perang psikologi

BN menang majoriti besar hanya perang psikologi

Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan berswafoto dengan sebahagian jentera yang hadir pada Ceramah Malam Penentuan Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Pakatan Harapan (PH)  menyifatkan dapatan kajian sebuah portal kononnya Barisan Nasional (BN) mendahului Pakatan Harapan dengan majoriti besar hanyalah perang psikologi saat akhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang berakhir 11.59 malam ini.

Timbalan Pengerusi PH,  Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ramalan sebegini telah banyak kali berlaku dalam PRK lalu.

Tetapi katanya, kajian PH menerusi badan think tank yang dilantik pihaknya pula mendapati PH mendahului BN di Tanjung Piai setakat hari ini.

“Itu perang psikologi, saya banyak lalui PRK, ramalan sebegini yang memihak satu pihak menang sebab ada keadaan yang mana mungkin secara ‘survey’ biasa susah hendak baca sikap pengundi.

“Kita dapati setengah kawasan di kawasan hitam yang mana UMNO, BN kuat, mereka tak bersedia tunjuk sikap terbuka sebab mereka risau takut akan timbul mungkin berbagai reaksi tak baik untuk mereka, jadi dia buat kajian ‘random'(rawak).Saya tak mahu salah tafsir, sebab ramai soal selidik cara begitu.

“Kami sendiri lakukan kajian soal selidik menerusi badan think tank yang dilantik PH dan mereka kata kami dahului setakat hari ini, berapa peratus itu kami tidak perlu maklumkan kerana bagi kami trend mutakhir ini kritikal, last 24 jam ini dan esok sangat penting,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH petang ini.

Tambah Muhyiddin, pihaknya sedang menjalankan kerja-kerja yang patut dan tidak mengambil mudah situasi berkenaan PRK.

Menurutnya  PH hanya akan berpuas hati sekiranya peratusan keluar mengundi menunjukkan peningkatan.

“Selagi mereka (pengundi) tak keluar dan mengundi, kami tak puas hati sebab kami hendak lihat ada trend meningkat dari segi peratusan keluar mengundi.

“Soal kehadiran pengundi patut lebih baik ekoran tinjauan kami mendapati terdapat kecenderungan untuk pengundi balik mengundi termasuk yang ada di luar,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.