KUALA LUMPUR – Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menasihati pemain muda agar mencontohi semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain tengah negara, Brendan Gan.
Cheng Hoe mengakui pemain Perak itu menjadi watak penting selepas menumpaskan Thailand 2-1 dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Kata pengendali kelahiran Kedah itu, Brendan yang baru bergelar bapa itu telah melalui pengalaman perit apabila berdepan dua kali pembedahan gara-gara kecederaan ACL.
“Tidak dinafikan, Brendan cukup bersemangat dan bermain bagus serta mungkin dibantu dengan kelahiran bayinya baru-baru ini.
“Saya harap dia dapat meneruskan rentak aksi cemerlang itu pada perlawanan seterus.
“Pada masa sama, pemain junior perlu mencontohi semangat Brendan kerana bukan mudah buat Brendan yang pernah berdepan kecederaan lutut yang teruk sebanyak dua kali kali,” kalinya.
Pada perlawanan keempat kumpulan G, Brendan yang merupakan kacukan Australia turut dipilih pemain terbaik perlawanan.
Pemain berusia 31 tahun itu memukau peminat apabila terlibat di bahagian serangan, terlibat di bahagian pertahanan. Malah, jaringan gol kemenangan buat Malaysia minit ke-56 adalah bantuan bijak dan berkelas tinggi.
Sementara itu, jaringan Brendan dan Mohamadou Sumareh sudah cukup untuk mengecewakan Thailand walaupun pelawat terlebih dulu membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Chanathip Songkrasin.
Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan ke atas skuad Gajah Perang hampir lima tahun selepas kali terakhir menang 3-2 pada final kedua Piala AFF 2014.
Kemenangan itu juga membolehkan Harimau Malaya mengumpul enam mata selepas empat perlawanan dalam Kumpulan G, manakala Thailand kekal dengan tujuh mata. – MalaysiaGazette