Home Nasional Kerajaan Negeri Perak, dua individu disaman gagal bayar hutang

Kerajaan Negeri Perak, dua individu disaman gagal bayar hutang

Peguambela dan Peguamcara, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi (tiga kanan) bersama anak guamnya Pengurus Projek, Wan Hanafi Wan Jusoh (dua kiri) menunjukkan surat saman pada sidang media berkenaan penipuan bayaran cek di Pejabat PUTRA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perak dan dua pegawai Persatuan Amal Kebajikan & Pembangunan Ekonomi Rakyat Perak, antara pihak yang disaman oleh sebuah syarikat pengurusan acara yang didakwa masih gagal melunaskan bayaran tertunggak sejak Disember 2018.

Pengurus Projek Khass Event Management Sdn Bhd, Wan Hanafi Wan Jusoh berkata, sehingga kini, pihaknya hanya mendapat bayaran separa sebanyak RM100,533 pada April 2019 bagi menjayakan Karnival Usahawan dan Hartanah Negeri Perak Tahun 2018.

Menurutnya, bayaran itu dibuat oleh persatuan terbabit selepas menyedari dua keping cek berjumlah RM400,000 yang diberikan kepada pihaknya pada 12 Disember 2018 disahkan sebagai cek tendang oleh pihak bank pada 20 Disember 2018.

“Pihak kami mengakui bahawa pihak Persatuan Amal Kebajikan & Pembangunan Ekonomi Rakyat Perak ada membuat bayaran kepada kami (bayaran separa) sebanyak RM100,533 secara tunai pada sekitar April 2019.

“Namun begitu, sehingga ke hari ini, pihak kami masih belum menerima apa-apa bayaran tunggakan daripada pihak persatuan terbabit sebanyak RM777,821.

“Pihak kami telah berkali-kali membuat tuntutan bayaran penuh melalui perjumpaan pihak-pihak terlibat, perbualan telefon dan atas talian melalui WhatsApp dan e-mel,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pengurus Projek, Wan Hanafi Wan Jusoh bercakap pada sidang media berkenaan penipuan bayaran cek di Pejabat PUTRA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 NOVEMBER 2019

Pada 20 Oktober 2018, Khass Event Management Sdn Bhd dianugerahkan kerja-kerja sebagai pengurus acara serta membekal alatan seperti kanopi dan siaraya bagi Karnival Usahawan dan Hartanah Negeri Perak Tahun 2018 yang berlangsung pada 13 hingga 16 Disember 2018.

Penganugerahan kerja-kerja itu dilakukan melalui satu pertemuan dengan Sekretariat Karnival Usahawan dan Hartanah Negeri Perak Tahun 2018 di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK) Ipoh, Perak.

Perjumpaan tersebut turut dihadiri oleh Exco Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Asmuni Awi selaku Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak.

Dalam pertemuan itu, semua pihak termasuk Exco Perak itu sendiri telah bersetuju dengan harga bagi perkhidmatan yang diberikan syarikat terbabit berjumlah RM878,354.

Susulan tiada maklum balas daripada keengganan persatuan terbabit melunaskan bayaran, Wan Hanafi telah melantik firma guaman melalui Tetuan Azam Aziz Shaharudin Ali & Co dan telah memfailkan notis tuntutan di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 15 Oktober lalu.

Muhammad Noor Azfar Noor Azmi
Reaksi Peguambela dan Peguamcara, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi ketika sidang media berkenaan penipuan bayaran cek di Pejabat PUTRA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 NOVEMBER 2019

Sementara itu, jurucakap firma guaman berkenaan, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi berkata, pihaknya telah memfailkan saman terhadap tiga penama berkenaan pada 15 Oktober lalu selepas surat tuntutan yang diserahkan pada 5 Ogos lalu tidak mendapat maklum balas.

Muhammad Noor Azfar berkata, tindakan saman itu dilakukan selepas laporan polis yang dibuat oleh anak guamnya sebelum ini tiada tindakan daripada pihak polis.

“Kami hanya mendapat surat daripada pihak polis, kira-kira 2 bulan lepas, menyatakan bahawa tiada unsur jenayah yang berlaku untuk kes anak guam kami.

“Kami pun berasa pelik apabila pihak PDRM boleh keluarkan kenyataan sebegini, di mana kita tahu banyak kes didakwa di mahkamah atas alasan cek tendang merupakan satu penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette