Home Utama Permit kempen rumah ke rumah tidak pernah dibantah calon – SPR

Permit kempen rumah ke rumah tidak pernah dibantah calon – SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun (kiri) ketika membuat lawatan semakan peralatan dan peti undi sempena persiapan akhir menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Permit berkempen dari rumah ke rumah yang dicadangkan dikenakan kepada parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai dikuatkuasakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata berkata, pihaknya tidak terlibat dalam peraturan itu.

“Isu permit kempen rumah ke rumah dan mana-mana situasi untuk mengeluarkan permit adalah di bawah kuasa dan kehakiman polis sepenuhnya dan SPR tidak ada kata putus dalam perkara itu.

“Ia keputusan polis untuk melaksanakan pengrekrutan seperti itu dan apa jua keadaan sekali pun, ia tidak diperkenalkan di pertengahan tempoh kempen PRK. Ia diperkenalkan sejurus sahaja tempoh kempen bermula selepas proses penamaan calon (2 November 2019).

“Apabila ia diperkenalkan, calon dan juga agen yang mewakilinya berada di tempat penamaan calon dan mereka dimaklumkan serta tidak ada sebarang bantahan atau rasa tidak puas hati daripada mereka.

“Malah selepas itu ramai yang meminta memohon permit tersebut (rumah ke rumah) dan ia dikeluarkan oleh polis jadi ia tak dipertikaikan mana-mana pihak ketika itu.

“Jadi apa yang berlaku adalah penipuan dan saya rasa mereka yang melakukan menyebarkan penipuan ini berniat jahat,'” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau bersama Setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar melawat Pusat Penjumlahan Undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim 9.15 pagi ini dan meninjau proses semakan peti undi dan agihan peralatan mengundi kepada 125 Ketua Tempat Mengundi serta taklimat daripada Penolong Pegawai Pengurus Parlimen Tanjung Piai, Mohd Fahmy Yahya.

Tambah beliau, SPR tidak tahu motif pihak yang berbuat demikian tetapi menyifatkan ia satu penipuan.

“Namun saya tidak kecewa sebab itu sebahagian dari lumrah kerja yang perlu diharungi, tidak mengapa, kami percaya kepada tuhan dan saya menerima gaji tanpa masalah setiap bulan,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan pandangan setuju dengan kenyataan Peguam Negara yang mengatakan permit kempen rumah ke rumah dan walkabout adalah tidak diperlukan dan tidak dinyatakan jelas dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saya bersetuju dengannya, Peguam Negara sebagai Ketua Peguam kerajaan tampil dengan garis panduan dan intepretasi undang-undang dan secara peribadi saya bersetuju dengan nasihatnya bahawa tidak ada kemestian untuk permit untuk walkabout dan lawatan rumah ke rumah,” katanya. -MalaysiaGazette