Home Nasional Polis pengiring ikut Ketua PDM hantar peti undi

Polis pengiring ikut Ketua PDM hantar peti undi

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh.

PONTIAN – Seramai 1,341 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk menjaga keselamatan dan kawalan lalu lintas pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai di sini esok.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, pihaknya sudah mengatur gerakan para pegawai dan anggota melibatkan semua jabatan antaranya bahagian jenayah, trafik dan cawangan khas.

Langkah itu memastikan suasana keselamatan proses mengundi melibatkan seramai 52,471 orang yang akan melaksanakan hak masing masing untuk mengundi.

“Kita sudah atur gerakan pegawai dan anggota kami untuk mengawal keselamatan di 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan DUN Kukup.

“Manakala kawalan juga diperketatkan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim dari 8 pagi hingga selepas waktu mengundi dan proses pengumuman keputusan dijangka malam esok.

“Kempen terakhir 11.59 malam ini dan saya berharap mana mana calon dan penyokong parti bertanding tidak terlibat ceramah selepas waktu itu dan harus dihentikan serta merta,” katanya dalam sidang media hari ini.

Susulan hari mengundi, kata Mustafa Bakri, jalan utama akan ditutup sekitar Dewan Jubli Intan iaitu Jalan Osman, Jalan Dewan dan Jalan Ismail untuk memastikan proses pengumpulan peti undi dan penjumlahan undi rasmi berjalan lancar.

Menurutnya, laluan alternatif iaitu Jalan Bakek, Jalan Alsagoff dan Jalan Parit Mesjid dibuka untuk keselesaan dan kelancaran trafik.

Malah sejak hari berkempen 2 November lalu sehingga semalam sebanyak 35 laporan polis diterima dan empat kertas siasatan iaitu tiga kertas siasatan telah di buka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 1 kertas siasatan di bawah Seksyen 4a(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Justeru sehingga semalam sebanyak 879 permit berkempen telah dikeluarkan polis kepada calon dan parti bertanding dan Barisan Nasional mendahulu senarai dengan 382 permit diikuti Pakatan Harapan sebanyak 158 permit, Gerakan sebanyak 129 permit, Berjasa sebanyak 190 permit dan dua calon bebas sebanyak 20 permit kempen.

“Sepanjang pemantauan polis proses kempen sejak dua minggu ini, tidak ada insiden besar yang mengganggu gugat ketenteraman awam dan keselamatan berlaku.

“Manakala permit rumah ke rumah sudah tidak dikeluarkan semenjak petang semalam selepas menerima arahan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Abdul Hamid Bador,” ujarnya.

Beliau turut diminta menyatakan langkah yang diambil polis untuk mengelak insiden kenderaan polis pengiring peti undi yang ditahan penyokong parti dan dipaksa membuka bonet kereta polis yang berlaku dalam PRK Rantau sebelum ini.

Untuk mengelak insiden seumpama berulang, katanya, pasukan pengiring telah diatur untuk mengikut Ketua PDM yang akan membawa peti undi sejurus selepas proses undi tamat 5.30 petang esok.

“Pegawai dan anggota kami yang akan terlibat sebagai pengiring kenderaan peti undi sudah diberi arahan dan taklimat untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan tegas dan tepat.

“Saya memohon kerjasama masyarakat supaya kerjasama dengan polis yang menjaga keselamatan dan kelicinan proses mengundi supaya mengelak sebarang insiden tidak diingini yang boleh mengganggu tugas polis,” tegasnya.-MalaysiaGazette