KETIKA artikel ini ditulis, ada kira-kira tiga jam lagi sebelum tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) P165 Tanjung Piai menutup tirainya.
Dan kurang 24 jam lagi, pengurus pilihan raya akan mengumumkan siapakah yang akan terpilih sebagai Ahli Parlimen baru bagi kawasan ini.
Tepat 11.59 malam nanti, semua kempen wajib diberhentikan!
Alhamdulillah, sejak penamaan calon sehingga hari ini, PRK P165 berjalan dengan aman dan diharapkan ia berkekalan sehingga pasca pengumuman kemenangan kelak.
Setakat ini hanya 35 laporan polis diterima dan lima kertas siasatan iaitu tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan satu kertas siasatan dibawah Seksyen 4a(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Mengenai ceramah pula, sebanyak 879 permit berkempen telah dikeluarkan polis kepada calon dan parti bertanding di mana Barisan Nasional (BN) mendahului senarai dengan 382 permit diikuti Pakatan Harapan (PH) sebanyak 158 permit, Gerakan sebanyak 129 permit, Berjasa sebanyak 190 permit dan dua calon bebas sebanyak 20 permit kempen.
Terima kasih kepada para calon PRK ini yang terdiri daripada PH, BN, GERAKAN, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan dua calon Bebas.
Mereka ialah wakil GERAKAN, Wendy Subramaniam diikuti calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng; calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok; calon PH, Karmaine Sardini; Presiden BERJASA, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan calon Bebas, Faridah Aryani Abdul Ghafar.
Ini kerana rata-rata telah menjalankan kempen mereka dengan baik dan berjaya mengawal jentera parti masing-masing daripada melakukan perbuatan yang melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) khususnya dan undang-undang negara amnya.
Siapapun yang menang nanti perlu sedar, mereka boleh beretorika ketika berkempen tetapi akhir sekali rakyat akan menagih perkhidmatan dan setiap perkataan yang mereka laungkan.
Beruntunglah semasa berkempen, ramai ‘otai-otai dan taiko-taiko’ parti datang untuk membantu mereka tetapi selepas ini mereka yang menang akan perlu berhadapan sendiri dengan pengundi yang telah memberikan kejayaan tersebut.
Pengundi sekarang sudah bijak. Mereka tidak mudah digula-gulakan dengan janji bulan dan bintang tetapi mereka nak lihat kemampuan serta sejauh mana individu yang mereka pilih bekerja dengan penuh komitmen tanpa mengira erti penat lelah.
Jika kriteria itu gagal dipenuhi, jangan terkejut jika ‘jangka hayat’ individu tersebut sebagai wakil rakyat hanya mampu bertahan sekadar sepenggal cuma.
Semoga 52,698 orang daripada 52,986 orang pengundi di Tanjung Piai akan dapat turun seramai mungkin esok bagi memilih siapakah yang berjaya menambat hati mereka untuk diangkat sebagai Ahli Parlimen baru di kawasan tersebut.
Memilih wakil rakyat bukan satu perkara main-main kerana walau satu undi pun, ia mampu membezakan antara kemenangan dan kekalahan.
Sekadar renungan, kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan Pakatan Harapan (PH) mendahului Barisan Nasional (BN) lebih sembilan mata.
Menurut mereka sejumlah 53 peratus daripada 1,200 responden menyatakan mereka akan mengundi calon PH, Karmaine Sardine, manakala 44 peratus lagi memilih calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
Manakala sebuah portal pula mendakwa kajian mereka menunjukkan BN akan menang selesa mengatasi PH dengan majoriti besar sehingga 3,000 undi.
Agensi perundingan, Ilham Center turut mendakwa PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan BN mampu menang dan menafikan status quo kemenangan PH dengan majoriti yang selesa.
Apapun akhir sekali buat pengundi yang akan membuang undi esok, ingatlah kata-kata orang tua-tua kita.
“Kalau memilih tempat mandi, pertama teluk, kedua pantai. Kalau memilih pemimpin sejati, pertama elok, kedua pandai.”
Pada Allah kita berserah.
Sehingga kita berjumpa lagi, terima kasih Tanjung Piai! – MalaysiaGazette
inilah wayang demokrasi,
angan2 kuasa pengundi,
walhal
pencalonan bukan oleh pengundi!!!
calun basi
calun basau
calun bengap
mcm2 ada.