Home Nasional Calon Berjasa sifatkan PRK Tanjung Piai paling aman

Calon Berjasa sifatkan PRK Tanjung Piai paling aman

Para pengundi mula membanjiri perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Yunos Sulaiman, Pekan Nenas, Johor untuk mengundi pada PRK Tanjung Piau pada hari ini. foto SYAFIQ AMBAK, 16 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Calon Barisan Jemaah Islamiah(Berjasa), Datuk Ir Badrulhisham Abdul Aziz menyifatkan perjalanan proses pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini merupakan paling aman yang pernah disertainya.

Beliau yang tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Kampung Sawah, Pekan Nanas seawal jam 8.45 pagi tadi turut memberitahu PRK kali ini sangat luar biasa dan meriah.

Mengakui keputusan PRK kali ini amat penting kepada semua calon bertanding, beliau berharap agar perjalanan hari pengundian berlangsung dalam suasana tenang dan aman.

“Keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan proses perjalanan hari pengundian dikendalikan SPR hari ini.

“Sepanjang kempen PRK selama dua minggu pun, tiada perkara tidak diingini berlaku dan kem saya pun tidak menerima sebarang provokasi daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian di SK Kampung Sawah, Pekan Nanas, di sini hari ini.

Badrulhisham menegaskan sebanyak enam pusat pengundian sekitar Parlimen Tanjung Piai akan dilawati bersama 1,000 jentera pilihan raya parti itu sehingga pukul 5.30 petang.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia  pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS), dengan majoriti 524 undi.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette