SUBANG JAYA – Wanita PKR hari ini mengesahkan telah menerima surat jawapan daripada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan Kongres Nasional Wanita PKR pada 6 Disember ini.
Ketuanya, Haniza Talha berkata, walaupun secara tradisinya tanpa mengira siapa pun yang menjadi Timbalan Presiden, pihaknya tetap akan menghantar jemputan kepada pemimpin nombor dua PKR itu untuk merasmikan kongres bukan sahaja Wanita bahkan AMK secara serentak.
“Wanita PKR tiada masalah kita memang ada hantar (jemputan) dan beliau (Mohamed Azmin) sudah bersetuju nak turut serta.
“Beliau (bersetuju) sudah lama kita putuskan kehadiran. Ia adalah perasmian persidangan serentak antara Wanita dan AMK.
“Kalau alasannya adalah Timbalan Presiden tak memberi maklum balas, kenapa Wanita dia boleh jawab,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Logo Wanita PKR di Hotel Empire, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sebagai meneruskan tradisi sejak 20 tahun lalu itu, Haniza menjemput pemimipin tertinggi AMK Malaysia untuk menghadiri Kongres Wanita Nasional bulan depan.
“Saya ajak sayap AMK bersama-sama kita di dalam perasmian kongres yang akan datang. Ini kerana mereka telah bersama kita sejak awal penubuhan.
“Ini kali pertama kalau mereka tak bersama-sama dengan kita, saya percaya konvensyen ini perlu dipertahankan kerana itulah imej parti yang kita sayangi,” katanya.
Katanya lagi, anggota Wanita akan berasa kesal sekiranya pimpinan AMK tidak bersama dengan wanita dalam kongres kali ini hanya kerana Wanita PKR mahu mempertahankan tradisi perasmi kongres adalah Timbalan Presiden dan bukan individu lain.
“Saya percaya seluruh anggota wanita di dalam negara ini juga merasa terkilan kerana kita semua berharap kongres ini akan membawa seluruh anggota bersama-sama memikirkan bagaimana, arah mana akan dituju selepas ini.
“Saya benar-benar berharap, lepas pelancaran logo ini, Wanita Keadilan bergerak dengan semangat baru, jalan yang jelas.
“Kita akan menyatakan hasrat kita, cadangan kita, pandangan kita, supaya parti ini dipelihara dan terus jadi parti yang dihormati dan disegani,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan
TERKINI : Wanita Keadilan Ingin “Azmin Ali Rasmikan Kovensyen” – Haniza Mohamed