Home Utama Provokasi tidak jejas proses mengundi

Provokasi tidak jejas proses mengundi

Tan Sri Muhyiddin Yassin

PONTIAN – Beberapa provokasi berbentuk ‘perang mulut’ yang agak tegang antara penyokong parti bertanding khususnya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai hari ini berjaya dikawal polis.

Provokasi itu disebabkan semangat kempen yang tinggi oleh para penyokong parti masing-masing.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan jentera dan anggota parti-parti bertanding agar memastikan provokasi itu tidak dialih ke atas pihak lain.

Menurutnya, setakat ini proses mengundi berjalan lancar tanpa gangguan.

“Saya melawat bilik gerakan polis dan diberikan taklimat tentang perkembangan PRK Tanjung Piai dan situasi di lapangan nampak baik, setakat ini dan tiada perkara luar biasa berlaku walaupun satu dua tempat ada provokasi tapi diredakan oleh polis secara profesional.

“Semangat semua pihak berkempen agak tinggi, yang mana saya turun sesetengah tempat dia laungkan hidup Pakatan, sokong PH dan BN pembangkang pun ada juga.

“Yang penting tidak ada apa-apa luar biasa. Kalau tidak tinggi semangatnya, lesu pun satu hal juga, jadi itu biasalah berlaku dalam mana-mana pilihan raya. Setiap parti nak tunjukkan semangat masing-masing.

“Tapi PH kami dah beritahu awal-awal lagi jangan buat provokasi, kalau pun mereka nak laung jerit apa-apa parti ke calon ke itu ok. Tapi provokasi dengan pihak lain sesuatu yang harus dielakkan supaya suasana itu sentiasa aman dan terpelihara,” katanya dalam sidang media khas perkembangan proses mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Piai 1 petang tadi.

Turut bersama Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Mohd Kamaruddin Md Din dan Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh.

Tambahnya, sekiranya suasana provokasi luar biasa terhadap pihak lain, dikhuatiri akan menyebabkan pengundi biasa takut keluar mengundi.

“Kalau tiada insiden provokasi melampau, pengundi akan keluar tanpa kegusaran, kalaulah dia dengar macam gah kat luar itu,dia nak lalu pun akan rasa takut..manalah tahu apa-apa boleh berlaku dan ini kita dapat dielakkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut optimis peratusan keluar mengundi menunjukkan peningkatan menjelang waktu berbaki lima jam lagi sebelum proses mengundi di kesemua 27 PDM ditutup 5.30 petang ini.

“Saya yakin sebab setakat 12 tengah hari tadi, tak silap peratusan keluar mengundi adalah 51 peratus dan percaya ia boleh mencecah sasaran 70 peratus seperti yang ditetapkan.

Laporan di sesetengah PDM juga mendapati keluar undi baik tapi ada juga masih rendah. Namun setakat ini semuanya terkawal.

“Biasanya selepas Zohor baru mereka keluar sampai Asar. Tapi saya yakin peratusan itu akan meningkat sebab masih ada beberapa jam lagilah untuk mereka keluar mengundi,” ujarnya.

Ditanya mengenai tiga laporan polis dibuat mengenai kad pengenalan disalahgunakan oleh orang lain untuk memangkah, Muhyiddin berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenainya.

Menyentuh mengenai jumlah pengundi Tanjung Piai yang menggunakan laluan khas Imigresen di CIQ Johor, katanya, menerima laporan awal pagi tadi tetapi jumlahnya tidak besar. -MalaysiaGazette