KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka akan menjadi ‘kambing hitam’ oleh rakan-rakan politiknya ekoran kekalahan PRK Parlimen Tanjung Piai semalam.
Itu ramalan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, situasi yang berlaku adalah sama seperti apa yang berlaku kepada Pas semasa parti itu bersama dalam Pakatan Rakyat dahulu.
“Saya jangka DAP akan mulakan langkah mereka untuk mengkambinghitamkan PM (Perdana Menteri) ketujuh sebagai punca utama kekalahan (calon PH) PRK Tanjung Piai.
“Habis madu sepah dibuang. Ini adalah sama seperti apa yang terjadi ke atas Pas semasa mereka bersama dalam Pakatan Rakyat,” tulisnya dalam Facebooknya hari ini.
Najib memberitahu bahawa sikap DAP tidak pernah berubah.
Semalam, BN merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai melalui calonnya, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng apabila memperoleh kemenangan besar dengan meraih 25,466 undi.
Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi berjaya mengalahkan pencabar terdekatnya iaitu calon PH, Karmaine Sardinie yang memperolehi 10,380 undi.- MalaysiaGazette